BANGI: “dia selalu ‘ghaib’, tidak memberi respons apabila dihubungi.”
Demikian penjelasan penyanyi, Zehra Zambri, 38, mengenai status hubungan dengan suami, Nur Mohd Iqwan Samsudin.
Menurut Zehra, tiada sebarang komunikasi berlaku antara kedua pihak disebabkan Nur Mohd Iqwan sering menghilangkan diri apabila cuba dihubungi.
“Lepas saya tuntut cerai, komunikasi kami hanya mengenai keperluan anak sahaja.
“Tetapi sekarang dia selalu hilangkan diri bila saya cuba menghubunginya.
“Kali terakhir kami berhubung adalah pada 10 Julai lalu itu pun ketika dia datang melawat anak di hospital,” katanya yang tiba dia Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat sekitar pukul 9 pagi ini.
Zehra hadir ke mahkamah ditemani bapanya, Zambri Ahmad bagi menghadiri prosiding lantikan Hakam Islah di mahkamah berkenaan.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Semalakama itu berharap suaminya berubah dan tidak terus mengabaikan nafkah anak.
“Kalau boleh saya mahu dia bertanggungjawab ke atas anak. Memanglah Allah juga bagi rezeki kepada saya, tapi sebagai bapa, dia juga kenalah bertanggungjawab,” kongsinya.
Zehra pada Mac lepas memfailkan permohonan cerai dengan lima tuntutan termasuk dakwaan berhubung nafkah serta terjadinya keganasan rumah tangga.
Mahkamah menerusi hasil keputusan Jawatankuasa Pendamai pada 14 Julai lalu mendapati berlaku Syiqaq (pergaduhan berpanjangan) antara pasangan suami isteri tersebut.
Untuk rekod, Zehra dan Iqwan berkahwin pada 10 November 2021. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Zahiyah Iqleela.- UTUSAN