PETALING JAYA: Terus menuai perhatian, pelakon, Abby Abadi berharap anak kesayangannya, Marissa Dania bebas daripada hubungan yang didakwa toksik sepanjang bergelar isteri, Ahmad Aslam.
Semakin terbuka meluahkan perasaan yang terpendam, Abby memaklumkan bahawa dirinya sentiasa mahukan yang terbaik buat anak-anaknya meskipun dalam perhubungan.
“Ya, saya doakan anak saya berjaya keluar daripada hubungan toksik itu. Biar yang mengata puas hati, saya hanya mahu yang terbaik buat anak saya.
“Cepat doakan sama-sama, anak saya perlu diselamatkan daripada hubungan toksik itu. Amin,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Abby berkata demikian susulan tertarik dengan petikan kata-kata semangat mengenai doa dan kepercayaan kepada takdir.
“Jika Allah mengizinkan kamu berdoa tentang sesuatu, itu bermakna Allah juga mengizinkan kamu untuk mendapatkannya.
“Jadi, ulangi doa itu, ulangi usaha itu, sampai Allah berkata: inilah masanya,” kongsinya semula.
Sebelum ini, pelakon drama Gerak Khas itu memberi bayangan bahawa dirinya bersetuju dengan pendapat netizen yang meminta Marissa untuk mencari kebahagiaannya sendiri tanpa mengharap kasih sayang seorang lelaki yang sudah berkeluarga.
Sebelum ini, kontroversi melibatkan perkahwinan Marissa Dania Hakim dengan Ahmad Aslam terlerai apabila Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan pernikahan mereka di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 sah mengikut hukum syarak.
Sewaktu perkahwinan itu berlangsung, Aslam sudah memiliki seorang isteri, Umisya Mazlan yang dinikahinya pada Julai 2020.
Hasil perkahwinan tersebut, Aslam dan Umisya dikurniakan tiga cahaya mata, manakala Marissa pernah kehilangan bayi pada Ogos tahun lalu.