Sarapan 90 sen setiap Jumaat demi hargai pelanggan

Sarapan 90 sen setiap Jumaat demi hargai pelanggan

IBRAHIM Abdul Rahim menunjukkan nasi lemak dan teh tarik yang ditawarkan pada harga 90 sen di gerainya di Baen Cafe Ayaq Gajah di Pulau Betong, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Dengan hanya membayar harga 90 sen, orang ramai boleh menikmati sepinggan nasi lemak panas dan sekeping roti canai pada setiap pagi Jumaat.

Itu yang ditawarkan oleh Ibrahim Abdul Rahim, 43, iaitu pemilik Baen Cafe Ayaq Gajah yang terletak di Pulau Betong di sini bermula 29 Ogos ini.

Menurut Ibrahim, selain nasi lemak atau roti canai, pelanggan boleh menikmati beraneka jenis kuih-muih serta minuman panas seperti teh tarik, milo dan teh ‘O’ dengan harga yang sama.

“Konsep (perniagaan) kami mudah. Setiap pagi Jumaat (bermula 29 Ogos ini) pelanggan perlu bayar hanya 90 sen untuk makanan dan 90 sen lagi untuk minuman.

“Kemudian, mereka boleh pilih apa sahaja makanan serta minuman yang kami sediakan dalam tempoh waktu 7 pagi hingga 11 pagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ibrahim atau dikenali Baen berkata, menu berharga 90 sen itu bukan bermaksud memberikan sedekah kepada pelanggan, sebaliknya dianggap sebagai cara mengembalikan sokongan pelanggan terhadap perniagaan diusahakannya dalam bentuk tawaran istimewa.

“Kami peniaga tidak boleh kata ini sedekah sebab perniagaan tetap perlu berjalan. Tetapi, apabila pelanggan sokong kita, kita juga mahu kembalikan sesuatu kepada mereka. Cara ini ibarat kita berkongsi rezeki,” katanya.

Ibrahim berkata, idea itu tercetus selepas melihat ramai pelanggan tetapnya tidak pernah jemu untuk singgah ke kedai makannya walaupun keadaan ekonomi agak menekan sejak kebelakangan ini.

Katanya, walaupun harga bahan mentah semakin meningkat, dia tetap bertekad untuk meneruskan program tersebut sebagai tanda penghargaan dan sokongan moral kepada komuniti setempat serta berharap dapat diteruskan setiap masa pada masa akan datang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN