Sanusi menang saman fitnah terhadap Saifuddin isu REE, Marris

Sanusi menang saman fitnah terhadap Saifuddin isu REE, Marris

BARISAN peguam bersama beberapa wakil rakyat Kedah dan penyokong Muhammad Sanusi Md. Nor selepas keputusan saman fitnah yang memihak Menteri Besar Kedah itu di Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi memerintahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membayar ganti rugi berjumlah RM600,000 kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung saman fitnah isu kecurian unsur nadir bumi (REE) dan dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris), dua tahun lalu.

Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memutuskan demikian selepas Menteri Besar Kedah itu selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Saifuddin selaku defendan.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu diperintahkan membayar ganti rugi global sebanyak RM600,000 dan kos sebanyak RM70,000.

Saifuddin turut diperintahkan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi dengan ia perlu diterbitkan masing-masing di sebuah akhbar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

Defendan juga diarah me­nyiarkan permohonan maaf itu melalui cara membuat sidang media dengan memanggil semua petugas-petugas media yang tidak terhad kepada beberapa media arus perdana yang dinyatakan dengan terma permohonan maaf hendaklah di­semak dan dipersetujui plaintif.

Selain itu, Saifuddin diperintah menarik balik video-video ceramah dan temu ramah media serta apa-apa video yang berkaitan dengan kenyataan-kenyataan fitnah REE dan Marris dalam tempoh 48 jam dari tarikh penghakiman.

Mahkamah juga mengarahkan perintah injunksi kekal bagi menghalang defendan atau mana-mana pihak daripada memuat naik, menyiarkan dan menerbitkan apa-apa ke­nyataan dalam apa juga bentuk yang mengandungi maklumat dan kandungan serupa, dengan Saifuddin perlu membuat akujanji berhubung perkara itu.

Saifuddin juga perlu membayar faedah lima peratus setahun terhadap ganti rugi ditetapkan dari tarikh pemfailan tindakan itu sehingga penyelesaian penuh bagi tujuan memberikan kepada mana-mana pusat atau institusi kebajikan.

Pada prosiding semalam, Hakim Mohamad Johan dalam penghakimannya menjelaskan bahawa kenyataan defendan bahawa terdapat penyelewengan isu REE di Kedah dan mempersoal penglibatan plaintif malah menggelarnya pencuri memberikan impak jenayah ke atas kenyataan itu.

Bagi isu Marris, defendan telah gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian mana-mana fakta substantif yang mampu mewajarkan kenyataan itu.

Muhammad Sanusi diwakili peguam Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd. Faizi Che Abu sementara Saifuddin diwakili peguam Navpreet Singh dan Sakina Siraj.

Kes itu berkaitan ceramah dalam Program Jelajah Madani sempena PRN Kedah yang mengandungi fitnah terhadap Muhammad Sanusi mencuri REE dan didenda RM500,000 pada 15 Julai 2023, serta sidang akhbar bertarikh 14 Julai 2023 yang membuat tuduhan bahawa beliau telah menyalahgunakan dana Marris berjumlah RM1.6 bilion.

Sementara itu, Saifuddin Nasution akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang mendapati beliau memfitnah Muhammad Sanusi.

Saifuddin berpendirian bahawa terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guamannya.

“Saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai.

“Sebagai seorang yang menghormati prinsip keluhuran undang-undang, saya percaya sistem kehakiman negara akan memberikan ruang yang adil bagi saya mengemukakan hujah dan mempertahankan kebenaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN