Saksi penting kes terowong Lim Guan Eng cedera diserang

Saksi penting kes terowong Lim Guan Eng cedera diserang

SAKSI penting perbicaraan kes Lim Guan Eng cedera diserang 10 lelaki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng telah diserang 10 lelaki dalam kejadian yang berlaku di kediamannya di sini hari ini.

Menurut sumber, akibat serangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan di muka dan tangan dan sebelum serangan berlaku, kesemua suspek juga telah bertindak mengikat dua pengawal keselamatan yang bertugas di kediaman mangsa.

“Saya menerima panggilan daripada mangsa pagi tadi dan dia memberitahu mengenai kejadian itu. Suaranya jelas ketakutan dan memberitahu bahawa penyerang datang secara tiba-tiba dan menyerangnya.

“Mereka juga mengikat dua pengawal keselamatan dan memberi amaran kepadanya supaya hanya duduk di rumah dan jangan cuba berlagak jadi hero,” kata sumber tersebut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pada 7.20 pagi.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek dalam kejadian ini membabitkan antara empat hingga lima orang. 

“Dipercayai suspek dalam kejadian ini membabitkan antara empat hingga lima orang, pasukan siasatan masih ditempat kejadian.

“Satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung kejadian terbabit dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi. 

Timbalan Pendakwa Raya utama yang mengendalikan perbicaraan kes rasuah itu, Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan.

Menurut beliau, pihak pendakwaan akan membawa perkara itu ke pengetahuan mahkamah pada prosiding perbicaraan yang akan bersambung pada 19 Ogos ini.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berdepan beberapa pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkaitan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

Beliau didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri ketika itu untuk meminta suapan bagi membantu Pengarah Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek berkenaan.

Guan Eng didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan yang bakal diperoleh syarikat itu daripada Zarul.

Beliau juga dituduh menerima RM3.3 juta untuk dirinya serta menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri dilupuskan kepada dua syarikat yang ada kaitan dengan projek tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×