RXZ Members 7.0: Kerajaan Madani salur peruntukan tambahan RM200,000

RXZ Members 7.0: Kerajaan Madani salur peruntukan tambahan RM200,000

SHAMSUL Iskandar Md. Akin bergambar kenangan bersama peserta yang hadir pada Program RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Program RXZ Members 7.0 menerima suntikan dana keseluruhan sebanyak RM300,000 termasuk tambahan RM200,000 daripada Kerajaan Madani dalam memastikan penganjuran kali ini berjalan lancar.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin berkata, pada awalnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan RM100,000 bagi membantu penganjuran program itu.

Namun katanya, Perdana Menteri kemudian turut berusaha mendapatkan tambahan RM200,000 lagi hasil sokongan daripada syarikat korporat serta pihak swasta.

“Jadi keseluruhannya, jumlah peruntukan yang disalurkan bagi RXZ Members 7.0 kali ini adalah sebanyak RM300,000. Kita harap bantuan kewangan ini dapat menjadi suntikan semangat kepada penganjur muda untuk terus mengadakan program seumpama ini pada masa akan datang,” katanya  selepas Majlis Perasmian RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, di sini hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, sumbangan itu tidak wajar dianggap bermotifkan politik sebaliknya sebagai tanda sokongan Kerajaan Madani terhadap inisiatif anak muda yang berjaya menghimpunkan ribuan penunggang motosikal dari seluruh negara.

“Perdana Menteri melihat RXZ Members ini sebagai platform besar yang menghubungkan rakyat daripada pelbagai latar belakang. Ia juga menunjukkan disiplin serta semangat tinggi dalam kalangan anak muda,” katanya.

RXZ Members 7.0 merupakan penganjuran edisi ketujuh sejak dianjurkan secara persendirian oleh komuniti peminat motosikal dua lejang itu beberapa tahun lalu. Acara kali ini berjaya menarik penyertaan lebih 100,000 peserta termasuk penunggang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Program berkonsepkan himpunan santai itu bukan sahaja menjadi platform mengeratkan ukhuwah dalam kalangan peminat Yamaha RXZ malah turut menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat melalui limpahan pengunjung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN