KUALA LUMPUR: Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) URA di Dewan Rakyat semalam membuktikan Barisan Nasional (BN) bukan kuda tunggangan DAP seperti yang sering disebut pihak tertentu.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, keputusan itu jelas menunjukkan wakil rakyat UMNO masih berani bersuara dan mempertahankan kepentingan rakyat, bukan sekadar mengikut telunjuk mana-mana pihak dalam kerajaan.
“Keputusan BN yang mahu pembentangan RUU itu ditangguhkan jelas menunjukkan wakil-wakil BN dan UMNO bukan menjadi tunggangan DAP. Mereka bersuara pada masa yang tepat demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, pembentangan RUU URA 2025 yang dijadualkan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat petang ini ditangguhkan pada sidang akan datang pada bulan Oktober.
Penangguhan itu dipercayai selepas menerima bantahan hebat daripada pembangkang dan segelintir ahli Parlimen kerajaan sendiri.
Mustapha berkata, tindakan strategik diambil Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah berjaya meyakinkan kerajaan untuk menangguhkan pembentangan kali kedua RUU itu ke Oktober depan.
Katanya, penangguhan itu membolehkan beberapa penambahbaikan dibuat, terutama melibatkan peruntukan yang menimbulkan kebimbangan rakyat.
“Veteran UMNO berharap kerajaan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengkaji balik peruntukan yang memberi kuasa terlalu besar kepada menteri kerana ia boleh bertindih dengan kuasa kerajaan negeri. Jangan lupa bahawa dalam soal tanah, ‘tuan tanah’ di negeri-negeri ialah raja dan sultan,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa kajian semula itu perlu dilakukan secara menyeluruh supaya tidak ada sebarang agenda tersirat atau meragukan yang boleh dipersoalkan rakyat, khususnya orang Melayu di bandar.
“Veteran tidak mahu rakyat hilang kepercayaan hanya kerana wujud elemen yang mengundang persoalan. Penangguhan ini peluang untuk kerajaan membetulkan keadaan,” katanya.
Menurut takwim Dewan Rakyat, mesyuarat ketiga bagi penggal keempat Parlimen ke-15 tahun 2025 akan bermula 6 Oktober dan berakhir pada 4 Disember. – UTUSAN











