PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan dijangka dikuatkuasakan pada Jun atau Julau tahun depan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pindaan itu membolehkan anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia mendapat taraf kewarganegaraan secara automatik.
“RUU itu kini di peringkat penelitian di beberapa pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Sekarang kita tengah buat persiapan.
“Pindaan di Parlimen telah selesai tetapi pelaksanaannya tahun depan sebab ia melibatkan perolehan, perubahan format borang dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Dialog Belanjawan 2026 bersama Pemegang Taruh Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Pada 17 Oktober 2024, Dewan Rakyat melakar sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga.
Dalam pada itu, mengenai keraguan yang wujudnya dua kewarganegaraan pula, Saifuddin berkata, kanak-kanak itu perlu memilih sama ada mereka ingin menjadi warganegara Malaysia atau sebaliknya apabila mencapai usia 18 tahun.
“Perlembagaan kita kata tidak boleh dua warganegara. (Jadi) kita kata (apabila) umur 18, dia pilih sama ada ikut warganegara ibu atau bapa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen (JIM) telah mempercepat tempoh proses permohonan permit masuk kepada enam bulan selepas dokumen lengkap dikemukakan.
“Prosedur operasi standard (SOP) baharu ini berkuatkuasa 1 September ini, apabila mohon sahaja permit masuk oleh pasangan warga asing tadi. Enam bulan kita akan bagi keputusan,” katanya.
Permit masuk ini adalah dokumen yang membenarkan warga asing untuk masuk dan tinggal di Malaysia bagi tujuan seperti belajar atau bersama keluarga.
Terdahulu, pada sesi dialog itu, pelbagai input dan cadangan daripada pemegang taruh KDN berkaitan aspek keselamatan telah dikumpulkan bagi memastikan Belanjawan 2026 disediakan secara holistik dan terangkum. – UTUSAN