KUALA LUMPUR: Lima remaja yang dijadualkan dituduh di mahkamah hari ini berdepan risiko double jeopardy (perbicaraan berulang) sekiranya pertuduhan bertindan dengan tarikh dan masa sebenar kematian Zara Qairina Mahathir, yang masih di tahap inkues.
Ini kerana prinsip double jeopardy di bawah Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan jelas melarang seseorang didakwa dua kali bagi kesalahan berasaskan fakta dan masa kejadian yang sama.
Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, jika remaja terbabit mengaku bersalah terhadap tuduhan awal, mereka tidak boleh lagi didakwa dengan kesalahan lebih berat sekiranya ia melibatkan tarikh dan masa kejadian yang sama dengan insiden kematian Zara Qairina.
“Jika mereka mengaku salah atas tuduhan awal, contohnya berkaitan perbuatan buli pada tarikh tertentu, kemudian inkues mendapati mereka terbabit secara langsung dengan kejadian kematian Zara Qairina pada masa yang sama, maka mereka tidak boleh lagi didakwa dengan kesalahan lebih berat seperti bunuh.
“Tetapi jika pertuduhan itu melibatkan insiden berbeza daripada segi masa dan tarikh kecederaan atau kematian Zara, mereka masih boleh berdepan pertuduhan lain selepas itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, lima remaja yang terlibat dalam kes buli Zara Qairina akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, kesemua remaja itu berusia di bawah 18 tahun dan akan didakwa mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan.
Mohamed Haniff Khatri berkata, hanya Pejabat Peguam Negara (AGC) mempunyai akses penuh terhadap kertas siasatan kes dan orang awam mahupun peguam luar tidak boleh membuat andaian mengenai kesesuaian seksyen pertuduhan yang digunakan.
Beliau turut yakin pertuduhan yang akan dibawa hari ini tidak berkaitan dengan tarikh ketika Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri, sebaliknya melibatkan insiden buli yang berlaku lebih awal.
“Seorang Peguam Negara yang cekap, malah yang biasa sekalipun, tidak akan mengambil risiko untuk mengaitkan pertuduhan dengan tarikh kejadian Zara Qairina kerana prosiding inkues masih belum bermula.
“Namun, jika pertuduhan itu benar-benar merujuk kepada tarikh dan masa kejadian kematian Zara Qairina maka timbul masalah besar kerana inkues bagi tarikh kejadian itu masih belum berjalan,” katanya.
Terdahulu, peguam kepada keluarga Allahyarham merayu agar pendakwaan terhadap lima remaja terbabit ditangguhkan supaya pertuduhan lebih berat dapat dikenakan.
Hamid Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan remaja itu akan didakwa mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan, namun berharap mereka didakwa di bawah Seksyen 507D (2) yang memperuntukkan hukuman lebih berat. – UTUSAN










