KOTA BHARU: Tempoh tahanan reman ke atas dua anak kepada seorang doktor swasta dan ibu mereka yang ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis ganja seberat 35 kilogram (kg) bernilai RM299,590, minggu lalu disambung enam hari.
Lanjutan reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia 23, 34 dan 46 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri sehingga 17 Ogos ini. Permohonan sambung reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, hari ini kira-kira pukul 8.45 pagi tadi dengan menaiki trak polis.
Salah seorang daripada suspek lelaki sempat menyapa wartawan yang berada di pekarangan mahkamah dengan ucapan morning everyone (selamat pagi semua) ketika dibawa ke lokap.
Terdahulu, dua lelaki yang merupakan anak kepada seorang doktor dicekup polis selepas dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran ganja di Kampung But, Ketereh di sini.
Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, polis menjumpai 35 kg dadah jenis ganja bernilai RM299,590 selain merampas sepucuk pistol bersama 16 butir peluru. Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 46 tahun yang merupakan ibu kepada kedua-dua suspek berkenaan. – UTUSAN










