Ramai mahu jadi penyanyi, bukan penghibur - Naqiu

Ramai mahu jadi penyanyi, bukan penghibur – Naqiu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah mencipta fenomena melalui perjalanan muziknya yang penuh suka duka iaitu dari zaman boy band sehinggalah mengukir kerjaya seni sebagai penyanyi solo, Naqiu ternyata sedang benar-benar menikmati kehidupannya sebagai anak seni.

Setelah hampir 25 tahun berkecimpung dalam dunia muzik, Naqiu, tidak menolak, gelaran seorang jurulatih nyanyian dan muzik kepada pelapis muda merupakan satu cabaran baharu buat dirinya.

Apalagi menerusi pembabitannya dalam sebuah program realiti, The Chosen One Xtra siaran Astro.

Naqiu mengakui, secara tidak langsung banyak perkara dan ilmu yang diraihnya meskipun telah lama berada di dalam gelanggang seni.

Kata Naqiu, ia terutamanya dalam mengendalikan peserta-peserta dari kalangan kanak-kanak.

Pengalaman itu bukan sekadar mencabar, malah membuka mata Naqiu tentang betapa pentingnya sokongan ibu bapa dalam memupuk minat seni anak-anak sejak kecil.

Menerusi pengalaman peribadi, kata penyanyi berusia 39 tahun ini, dia percaya, ibu bapa seharusnya memberi sokongan kepada minat anak masing-masing walaupun mungkin ada pendapat mengatakan, bidang seni ini tidak seperti bidang kerjaya lain.

“Sejak kecil, bila saya tunjuk minat terhadap muzik, ibu bapa saya tidak pernah halang. Dari situlah lahir identiti saya hari ini. Kalau mereka sekat, mungkin saya tidak akan berada di sini.

“Bagi saya, minat anak-anak perlu dipupuk sejak kecil kerana ia sebahagian daripada proses membentuk identiti. Kalau kita sekat anak-anak daripada pengalaman ini, mereka tak akan pernah tahu apa itu realiti hidup sebagai seorang penghibur jika minat mereka ke arah itu.

“Saya lihat ramai generasi baharu hanya mahu jadi penyanyi, tetapi kurang menekankan aspek penghibur. Harus diakui, industri kita sekarang sebenarnya kekurangan penghibur.

“Ramai hanya nak nyanyi macam idola mereka, bunyinya sama. Tak ada sesuatu yang baru,” katanya.

Naqiu berkata, dia berbangga melihat potensi anak-anak generasi muda yang menunjukkan kesungguhan untuk meneruskan minat dalam bidang seni muzik.

“Saya pula bukan membimbing seorang, tetapi tujuh orang sekali gus menerusi program itu. Mereka berusia antara 10 hingga 13 tahun, itu cabaran besar untuk saya.

“Kalau dengan anak sendiri, teguran dan nasihat boleh diberi sesuka hati. Tetapi bila membimbing anak orang lain, saya akui perlu lebih berhati-hati.

“Saya risau cara menegur anak sendiri berkesan, tapi bila dengan anak orang lain, saya takut terlebih atau salah cara. Bukan senang nak kawal tujuh orang anak lelaki dalam umur yang tengah lasak,”selorohnya.

PENDIDIKAN UTAMA
Dalam pada itu, kata Naqiu, dia tidak menolak bahawa salah satu soalan yang sering menghantui ibu bapa apabila anak-anak menunjukkan minat terhadap seni ialah ‘adakah minat ini akan mengganggu pelajaran mereka di sekolah?’

Naqiu mengakui kerisauan itu memang wajar tetapi dengan pengurusan masa yang baik, pelajaran dan seni mampu bergerak seiring.

“Contohnya, buat peserta The Chosen One, ia langsung tak ganggu waktu sekolah. Stesen TV sendiri dah tetapkan peraturan yang jelas iaitu jangan sesekali mengganggu jadual persekolahan.

“Rakaman hanya dibuat selepas waktu sekolah, biasanya pada hari Jumaat petang hingga hujung minggu. Bila selesai mereka kembali ke sekolah seperti biasa. Latihan pun kami atur supaya tak bertembung dengan waktu belajar,”katanya.

Bagi Naqiu, perkara ini sangat penting. Sebagai seorang bapa, dia tahu betapa besarnya nilai pendidikan.

“Ini kerana, saya mahu mereka jadi bintang yang bersinar sekejap tapi akhirnya gagal dalam pelajaran. Pendidikan tetap nombor satu.

“Seni itu memang indah, tapi tanpa pendidikan yang kukuh, mereka boleh mudah hilang arah. Ilmu yang mereka dapat di sekolah akan bantu mereka jadi manusia yang lebih matang,” ujarnya.

“Seni pula melengkapkan mereka dengan disiplin, keyakinan, dan kreativiti. Kalau dua-dua ini digabungkan, anak-anak akan jadi lebih seimbang,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN