Rafizi ajak Bawang Army `serang’ Israel, hentikan kekejaman di Gaza

Rafizi ajak Bawang Army `serang’ Israel, hentikan kekejaman di Gaza

tafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Bawang Army’ diajak menyalurkan ego dan nafsu buli siber untuk ‘menyerang’ dan mendesak Israel menghentikan kekejaman yang menyebabkan kebuluran besar-besaran di Gaza.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, satu ketika dulu, rakyat Malaysia pernah menjadi tajuk berita antarabangsa kerana menghentam Israel secara terus menerus di akaun-akaun media sosial sehingga dilabel sebagai Bawang Army.

Pada masa sama, katanya, Malaysia menduduki tangga kedua di Asia selepas China dalam ranking buli siber dalam kalangan remaja manakala di tempat kelima di peringkat dunia menurut United Nations Children’s Fund (UNICEF).

“Sudah sampai masanya kita menjadi Bawang Army beramai-ramai untuk mendesak Israel menghentikan kekejaman yang menyebabkan kebuluran besar-besaran di Gaza.

“Di masa dunia tertumpu kepada kesengsaraan di Gaza akibat tindakan Israel menyekat makanan kepada rakyat Palestin, kita lebih bising mengenai ‘Turun Anwar, Kekal Anwar’ dan semua perkara politik,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, satu kajian mengenai insiden buli siber dalam kalangan remaja menunjukkan 47 peratus ibu bapa sedar sekurang-kurangnya ada seorang kanak-kanak dan remaja yang dibuli dalam komuniti mereka.

Malah, katanya, satu daripada empat ibu bapa merasakan anak mereka dibuli di alam siber.

“Sebagai ibu bapa, kita semua bertanggungjawab. Anak-anak mengambil teladan daripada kita. Bila kita buat komen di media sosial yang buat kita merasa hebat tetapi sebenarnya kita membuli siber, itu membiasakan perbuatan tersebut.

“Buli siber perlu dibendung dalam masyarakat terutamanya dalam kalangan remaja, (tapi) kalau sudah tak tahan sangat hendak buat hantaran panas, biarlah ada kebaikan, contohnya mendesak Israel menghentikan kekejaman ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×