KUALA TERENGGANU: Puluhan ribu penunggang motosikal Yamaha RXZ yang dijangka membanjiri Terengganu sempena program RXZ Member 7.0 di sini, dari 22 hingga 23 Ogos ini diingatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya serta menjaga keselamatan sepanjang penganjuran.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, penunggang perlu memastikan motosikal diselenggara dengan baik selain memiliki lesen memandu sah sebelum memulakan perjalanan ke negeri ini.
“Peserta juga diingatkan tidak mengubah suai motosikal secara haram, tidak membawa barangan terlarang dan tidak membuat bising di kawasan awam. Polis terus memantau setiap aktiviti sepanjang program ini berlangsung dan tindakan tegas diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.
Mohd. Khairi berkata, polis tidak mahu berulangnya insiden seperti program RXZ Member 6.0 tahun lalu yang menyaksikan sembilan kemalangan direkodkan termasuk tiga kes maut masing-masing di daerah Marang, Dungun dan Kemaman.
Selain itu katanya, sebanyak 89 saman dikeluarkan kepada peserta atas pelbagai kesalahan jalan raya manakala 15 motosikal jenis RXZ dan Yamaha Y15 turut disita kerana pengubahsuaian yang tidak mengikut spesifikasi.
“Keselamatan orang awam menjadi keutamaan dan sebab itu kami menekankan aspek disiplin dalam kalangan peserta. Polis tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba menimbulkan masalah,” tegasnya. – UTUSAN










