KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dijangka berlangsung dalam waktu terdekat apabila parti-parti utama dilihat sudah hampir mencapai kata sepakat dalam membentuk kerjasama.
Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini dilihat sebagai isyarat terakhir ke arah itu.
Semuanya kini terserah kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan lebih awal atau menunggu cukup tempoh pada 11 November.
Bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, tarikh pilihan raya hanya boleh diumumkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penolong Pengarah (Pengurusan) SPR Sabah, Jhassmeen Nureen Anak Ngong berkata, pihaknya kini hanya menunggu DUN dibubarkan sahaja.
“Kalau bubar, baru kami dapat tentukan tarikh bila pilihan raya. Sama ada dibubar dalam masa terdekat atau cukup tempoh pada 11 November, ia tetap akan dijalankan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran,” katanya.
Setakat ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan pendirian untuk mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), yang dilihat berjaya membantu menstabilkan politik negeri sekali gus memberi ruang kepada kerajaan menumpukan agenda pembangunan.
Bagaimanapun, cadangan Anwar untuk melibatkan BN dalam kerjasama itu masih belum mendapat kata putus daripada parti itu, sebaliknya, kepimpinan GRS menekankan bahawa dominasi parti tempatan adalah kunci utama dalam mentadbir Sabah.
Polemik pembahagian kerusi dijangka menjadi ujian getir buat gabungan sedia ada. Tuntutan oleh parti-parti dalam pakatan berpotensi mencetuskan percaturan rumit, dan sekiranya gagal dicapai kompromi, Sabah berisiko berdepan pertandingan tiga penjuru yang boleh membuka ruang lebih luas kepada pembangkang.
Menjelang PRN, persoalan utama bukan sekadar tarikh pilihan raya, tetapi siapa yang paling meyakinkan rakyat. Jika GRS–PH kekal utuh, kelebihan mereka terletak pada imej kestabilan dan rekod pembangunan. Namun, jika BN kekal di luar kerjasama, risiko pertembungan banyak penjuru dijangka menjadi cabaran besar.
DUN Sabah mempunyai 73 kerusi, dengan UMNO kini memegang 11 kerusi manakala PH tujuh kerusi.
Dalam pada itu, pengundi muda turut dijangka memainkan peranan penentu, memandangkan mereka dilihat semakin kritikal dan tidak mudah dipengaruhi retorik politik.
Akhirnya, pilihan terletak di tangan rakyat Sabah. Sama ada PRN diadakan lebih awal atau cukup tempoh, pengundi kini tampil lebih matang dengan harapan siapa sahaja yang diberi mandat mampu menjamin kestabilan politik serta membawa pembangunan berterusan.
Sementara itu, mengenai kos anggaran PRN, Jhassmeen berkata perkara itu tertakluk kepada pihak kewangan di Ibu Pejabat SPR.
Katanya, senarai calon belum dimuktamadkan kerana sehingga kini SPR belum menerima senarai rasmi calon atau parti yang akan bertanding pada PRN akan datang.
“SPR tidak akan tahu siapa parti yang bertanding selagi belum berlaku penamaan calon. Selepas pembubaran, barulah proses penamaan calon diadakan, dan ketika itu kita akan tahu siapa yang layak bertanding,” katanya.
Menyentuh isu kelayakan bekas ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony, Jhassmeen menegaskan kuasa menentukan status kerusi berkenaan terletak pada Speaker DUN.
“Kalau pun beliau hilang kelayakan atas sebab mahkamah, SPR hanya boleh ambil makluman daripada Speaker. Jika Speaker umum kerusi itu kosong, maka SPR perlu adakan PRK dan ia boleh disekalikan dengan PRN,” katanya.
Tambah beliau, penentuan sama ada seseorang calon layak bertanding atau tidak hanya dibuat oleh Pegawai Pengurus SPR pada hari penamaan calon. – UTUSAN










