KOTA KINABALU: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan (PH) sedang berunding dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengelak pertandingan tiga penjuru antara mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Menurut Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, kesemua mereka kini di peringkat rundingan dengan jawatankuasa-jawatankuasa yang berkaitan termasuk soal kerusi yang akan ditandingi.
“Pemahaman kami pada masa sekarang adalah untuk menjamin satu aturan di mana tiada pertandingan tiga penjuru antara tiga parti ini.
“Tetapi, jika ia harus berlaku, saranan kami adalah, mungkin kami akan mengambil pendekatan untuk tidak menyertai pertandingan tersebut bagi mengelakkan konflik,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah di sini semalam.
Mengulas mengenai kononnya ada ‘cinta tiga segi’ di antara ketiga-tiga pihak, beliau berkias bahawa ‘cinta itu menyenangkan. Kadang-kadang ada sedikit luka, tapi itu makna cinta’.
Namun kata Anwar, masih terlalu awal untuk mengulas tentang kemungkinan pertindihan kerusi yang akan ditandingi kerana hasrat mereka adalah untuk memastikan adanya persefahaman penuh di antara semua parti terlibat.
Sementara itu, Anwar ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sini berkata, kerajaan tidak akan membiarkan Sabah dicerobohi atau dituntut oleh sesiapapun.
“Seperti di mahkamah Sepanyol, kita lawan maksimum untuk pertahankan hak Sabah.
“Kenapa? Kerana ini negara kita, dan Sabah ini sebahagian daripada Malaysia,” katanya.
Begitu juga dalam soal isu tuntutan di Laut Sulawesi, katanya, perjumpaan dengan Indonesia berhubung perkara itu bukan bermaksud hak Sabah diserahkan, sebaliknya ia rundingan dengan cara baik.
“Ini soal hubungan dua negara. Indonesia itu negara sahabat. Saya mahu hubungan itu baik,” katanya yang menyatakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut terlibat dalam perbincangan tersebut. – UTUSAN










