Politik samseng tidak sihat untuk demokrasi negara - PN - Utusan Malaysia

Politik samseng tidak sihat untuk demokrasi negara – PN

pru15
TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mengecam serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, semalam.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, insiden itu merupakan perbuatan jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali di dalam sebuah negara bertamadun.

Katanya, PN juga mengambil maklum kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR itu bahawa serangan itu merupakan suatu bentuk amaran kepadanya supaya tidak lagi bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.

“Jika benar telahan ini, ia menandakan satu perkembangan politik samseng yang amat tidak sihat dan berbahaya kepada landskap demokrasi negara.

“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan kepada ancaman dan keganasan fizikal, apatah lagi apabila ia melibatkan kanak-kanak.

” PN menzahirkan sokongan moral penuh kepada Rafizi dan keluarga dalam menghadapi saat yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, PN juga mendoakan supaya anak Rafizi berada dalam keadaan baik dan pulih sepenuhnya daripada sebarang kesan dan trauma tersebut.

Pada masa sama, katanya, PN juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bertenang dan matang dalam menghadapi situasi ini.

“Rakyat jangan sesekali terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi atau andaian yang mungkin sengaja dicetuskan untuk memecahbelahkan keharmonian masyarakat. Kestabilan dan keamanan negara ialah tanggungjawab kita bersama.

“Dalam pada itu, PN menggesa pihak polis agar menyiasat kejadian ini dengan kadar segera, telus dan menyeluruh.

“Pelaku jenayah ini mesti dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas sebagai isyarat jelas bahawa sebarang bentuk keganasan, terutama terhadap kanak-kanak, tidak mempunyai tempat di bumi Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN