Polis tumpas sindiket curi susu formula disorok di celah kelangkang  - Utusan Malaysia

Polis tumpas sindiket curi susu formula disorok di celah kelangkang 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA : Taktik licik sindiket mencuri susu formula dengan menyembunyikannya di celah kelangkang terbongkar selepas polis menahan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sindiket itu dikesan aktif melakukan jenayah sejak 2011 dan dalam tempoh seminggu sahaja telah memecah masuk 12 premis di beberapa negeri termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Menurutnya, kesemua suspek yang berusia dari 23 hingga 50 tahun itu adalah penganggur, terdiri daripada dua lelaki berasal dari Sabah serta seorang lelaki dan seorang wanita berasal dari Filipina.

“Suspek wanita akan mengambil susu formula dan menyimpannya di dalam baju serta seluar, termasuk di bahagian pinggang dan celah kelangkang manakala dua lelaki bertindak sebagai pengawal di lorong pasar raya manakala seorang lagi akan memantau di luar premis. 

“Serbuan dilakukan hasil risikan selepas menerima dua laporan polis berhubung kecurian di pasar raya serbaneka di Taman Paya Emas dan Bandar Baru Sungai Udang pada 2 Ogos lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Batu Berendam di sini, hari ini. 

Christopher berkata, dalam serbuan pada pukul 12.05 tengah malam itu, polis menahan keempat-empat suspek serta merampas 71 kotak, 15 paket, 12 tin susu pelbagai jenama serta 22 paket minuman yang kesemuanya bernilai RM12,600. 

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Mazda CX-5, empat telefon bimbit, pakaian yang diubah suai, topi, kasut, pita pelekat, plastik sampah dan beg kain yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes curi dan dadah.  Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN