NARATHIWAT, THAILAND: Polis Thailand menguruskan penghantaran pulang penyanyi Bae Soba Bae, Eda Ezrin, suaminya dan empat rakan mereka ke Malaysia hari ini secara ‘sembunyi’ bagi mengelak diserbu petugas media yang berkampung di Balai Polis Daerah Sungai Golok, di sini.
Selain itu, difahamkan, langkah tersebut dibuat selepas pihak berkuasa Thailand menyedari kehadiran ahli keluarga dan kenalan Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail.
Setakat pukul 12.20 tengah hari waktu tempatan, Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, masih berada di bilik khas di Ibu pejabat Polis Daerah Mueang di sini.
Jurucakap Polis Daerah Mueang berkata, keenam-enam rakyat Malaysia itu berada dalam keadaan sihat dan telah menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dihantar pulang ke Malaysia.
“Penghantaran pulang kesemua mereka dilakukan secara ‘senyap-senyap’. Mungkin dalam sejam dua lagi. Anggota polis Sungai Golok akan mengiringi mereka ke pejabat imigresen untuk proses dokumentasi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya,, Eda Ezrin, suami dan rakannya diberi bilik khas mengikut pasangan masing-masing.
“Ada media Malaysia dan keluarga Eda datang untuk bertemu di balai polis di sini. Tapi kami menerima arahan untuk tidak membenarkan mereka masuk, katanya.
Utusan Malaysia melaporkan, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan yang dibebaskan sepenuhnya dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat dijangka pulang ke Kelantan hari ini. – UTUSAN










