Polis selamatkan lima bayi daripada pemerdagangan

Polis selamatkan lima bayi daripada pemerdagangan

M. Kumar menunjukkan buku ibu hamil dan borang kosong Jabatan Pendataran Negara yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru semalam.- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lima bayi termasuk berusia dua bulan diselamatkan selepas disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia susulan tangkapan 10 individu menerusi serbuan Op Pedo yang dilancarkan sejak 19 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, bayi yang berjaya diselamatkan terdiri daripada tiga bayi perempuan dan dua bayi lelaki ma­sing-masing berusia dua bulan hingga lima tahun.

Menurutnya, kejayaan itu hasil tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun di kawasan Johor Bahru.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai puluhan rakaman video dan ratusan gambar penganiayaan seksual kanak-kanak.

“Susulan itu, polis melancarkan Op Pedo bermula 19 Julai hingga 19 Ogos lalu di sekitar Johor Bahru, Selangor serta Pulau Pinang sehingga berjaya memberkas 10 individu yang disyaki terlibat de­ngan sindiket berkenaan.

“Mereka terdiri daripada dua lelaki Indonesia, lelaki Myanmar (1), wanita tempatan (2), wanita Filipina (1) dan wanita tempatan (4) masing-masing berusia 25 hingga 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam. Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad.

Kumar berkata, modus ope­randi suspek utama adalah mendapatkan bekalan bayi melalui iklan di Facebook mencari bayi untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Menurutnya, suspek me­nyasarkan wanita yang me­ngandung luar nikah dengan cara menawarkan pemberian wang saguhati antara RM1,500 hingga RM3,500.

“Bayaran ini termasuklah melunaskan bil bersalin di hospital. Suspek akan berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama-sama dengan ibu bayi bagi urusan mendapatkan sijil kelahiran yang sah.

“Selepas sijil lahir sudah dapat, sindiket akan memutuskan hubungan bayi dan ibu kandungnya,” katanya.

Kumar berkata, suspek akan menggunakan bayi-bayi tersebut bagi penghasilan bahan penganiayaan kanak-kanak dan menyebarkan video serta gambar berkenaan di aplikasi Telegram selain menjual ke dark web bagi mendapatkan ganjaran wang.

Selain itu, suspek turut melakukan penderaan seksual termasuk merogol, dan meliwat untuk tujuan memuaskan nafsunya.

“Selain suspek turut dipercayai mangsa di kawasan kejiranan secara rambang dan menyasarkan kanak-kanak perempuan yang tinggal berseorangan di rumah tanpa jaga­an atau seliaan orang dewasa.

“Tiga kanak-kanak perem­puan berusia lima hingga tujuh tahun sudah menjadi mangsa kepada suspek melalui kaedah ini,”katanya.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5, Seksyen 14(a), Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN