PETALING JAYA: Polis sedang memburu pemilik nombor yang menghantar mesej ugutan ke atas isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas anaknya diserang di sebuah pusat beli belah di Putrajaya kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengesan pemilik nombor telefon terbabit.
Menurutnya, isteri Ahli Parlimen Pandan itu juga sudah tampil membuat laporan polis semalam.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan berhubung ugutan terbabit.
“Kami juga sudah merakam keterangan doktor yang merawat anaknya bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Rafizi Ramli tidak menolak kemungkinan serangan dibuat terhadap anak lelakinya semalam disebabkan pertemuannya bersama satu kumpulan pendedah maklumat atau whistleblower berkait sebuah skandal, pada Rabu minggu lalu.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, ia juga adalah cubaan untuk menutup mulutnya mengenai perkara berkenaan.
Media semalam melaporkan polis sudah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan berkaitan kes anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Dalam kejadian 2 petang kelmarin, anak Rafizi yang berusia 12 tahun itu diserang dua individu menunggang motosikal disuntik jarum berisi cecair namun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Shazeli dilaporkan berkata , serangan yang dilakukan dua individu itu dilaporkan berlaku di tempat menurun dan mengambil penumpang di pusat beli-belah berkenaan.- UTUSAN










