GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang menasihatkan semua pihak untuk tidak menyertai perhimpunan berkaitan Jalur Gemilang yang dijadual berlangsung di Bertam, Kepala Batas, petang esok.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, hal ini demikian bagi memastikan agar keselamatan penduduk setempat serta ketenteraman awam lebih terjamin.
Azizee berkata, pihaknya mengambil maklum akan penganjuran perhimpunan tersebut dan menggesa orang ramai supaya bersabar sementara menunggu keputusan pejabat Peguam Negara berhubung isu berkenaan.
“Dalam hal ini, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan pecah keamanan, huru-hara atau jenayah (dalam perhimpunan tersebut jika ada).
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan memberitahu, ahli-ahli DAP Pulau Pinang akan menyambut mana-mana pihak yang cuba mengganggu ketenteraman di sekitar premis yang terlibat dengan isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik, baru-baru ini dengan mengedarkan 831 helai Jalur Gemilang secara percuma.
Kata beliau, tindakan itu diambil sebagai simbolik terhadap semangat perpaduan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.
Susulan kenyataan tersebut, Pemuda UMNO Pulau Pinang memaklumkan bahawa mereka akan turun bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh ke Kepala Batas dan turut menyeru orang ramai untuk turut serta dalam perhimpunan terbabit.
Sementara itu, Azizee berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan terhadap individu yang bertindak merakam serta menyebarkan video pemasangan Jalur Gemilang terbalik di sebuah premis di Kepala Batas itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, sebanyak 38 laporan polis telah diterima di seluruh negara dengan 17 daripada laporan tersebut diterima di Pulau Pinang manakala 21 laporan lagi diterima di negeri lain.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan serta dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya Pulau Pinang pada 11 Ogos lalu dan kini, ia sedang berada dalam kajian pihak yang berkenaan,” katanya.-UTUSAN