KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengecam serangan peluru berpandu dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran serta menggesa usaha diplomatik segera dilaksanakan bagi meredakan ketegangan konflik tersebut.
Ahli CEC DAP merangkap Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa parti itu, Kasthuri Patto berkata, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu melakukan sidang tergempar bagi memulakan rundingan damai tanpa penangguhan, susulan perkembangan ketenteraan yang semakin memuncak.
“Sehingga kini, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan tentera AS telah menyelaraskan serangan terhadap sasaran ketenteraan. Sudah terdapat jumlah korban awam yang tinggi.
“Menurut Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), sebuah saluran berita kerajaan, sekolah perempuan Shajareye Tayabeh turut terkena serangan peluru berpandu menyebabkan 85 pelajar perempuan maut dan lebih 100 lagi terkorban,” katanya dalam kenyataan.
Kasthuri berkata, dalam landskap politik global yang semakin terpolarisasi dan tidak stabil, tindakan sebegini disifatkan amat tidak bertanggungjawab.
“Presiden AS, Donald Trump pula dalam rakaman videonya mendakwa bahawa matlamat Washington adalah untuk ‘menghapuskan ancaman segera’ di Iran.
“Itu kata-kata dari pembekal senjata terbesar kepada Israel yang sebahagiannya digunakan dalam serangan tidak berasas ke atas Iran.
“Manakala, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula berkata operasi itu bertujuan menyingkirkan ‘ancaman kewujudan’ terhadap Israel.
“Itu pula kata individu yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas dakwaan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid,” katanya.
Katanya, DAP menggesa gencatan senjata segera serta peralihan daripada konflik bersenjata kepada meja rundingan kerana hanya dialog damai mampu menghentikan pertumpahan darah yang berterusan.
“Sudah terlalu banyak penderitaan, keganasan, pertumpahan darah, genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan di seluruh dunia. DAP menyatakan solidariti bersama semua pembela hak asasi manusia, ahli politik, aktivis, wartawan dan pejuang kebebasan.
“Tiada satu negara pun boleh mendakwa dominasi terhadap susunan dunia serta ekosistem politik yang menyokongnya. Kita tidak boleh dan tidak harus menerima tindakan serangan besar-besaran terhadap sebuah negara berdaulat,” katanya. – UTUSAN










