KUALA LUMPUR: Sebanyak 144 operasi membanteras aktiviti sabotaj ekonomi seperti penyeludupan migran dan pemalsuan dokumen telah dilaksanakan Polis Diraja Malaysia dalam tempoh Januari sehingga Julai lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi dilaksanakan Cawangan Khas dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain itu turut melibatkan rampasan dan tangkapan rakyat tempatan dan warga asing.
“Cawangan Khas akan melipatgandakan gerak kerja perisikan dengan mengadaptasi kemajuan teknologi khususnya teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam setiap penugasan.
“Perhatian juga perlu diberikan kepada usaha mengukuhkan keharmonian negara, lantaran kecenderungan masyarakat yang amat mudah terpengaruh dengan propaganda media sosial dan netizen yang mewujudkan sentimen 3R sehingga menimbulkan ketidakyakinan masyarakat terhadap ketelusan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran Cawangan Khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Mohd. Khalid berkata, selain aspek penyiasatan dan pencegahan jenayah, aspek perisikan juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan negara dan ketenteraman awam.
Jelasnya, risikan yang berkesan membolehkan pengesanan awal sebarang elemen yang mampu menggugat keselamatan dan kemakmuran negara.
“Kejayaan operasi keselamatan terancang menyasarkan warga Bangladesh di Malaysia yang terlibat secara langsung dalam aktiviti keganasan kumpulan Gerakan Militan Bangladesh (GMB) di Johor dan Selangor adalah amat memberangsangkan.
“Seramai 39 warga Bangladesh berjaya ditahan yang mana sembilan daripadanya telah didakwa di bawah Kanun Keseksaan.
“Manakala 29 yang lain telah dikenakan tindakan pengusiran dan seorang lagi masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Kata Mohd. Khalid, ini peranan Cawangan Khas dalam memastikan kedaulatan negara kekal dijunjung walaupun identiti jabatan ini agak terselindung.
“Namun keberkesanan fungsinya amat penting dan menjadi penentu kejayaan operasi jabatan PDRM mahupun agensi penguat kuasa yang lain.
“Kredibiliti Cawangan Khas diperakui bukan sahaja di peringkat nasional malah turut diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN








