Pokok gergasi 100 tahun tarikan baharu Gunung Jerai

Pokok gergasi 100 tahun tarikan baharu Gunung Jerai

MOHD. Salleh Saidin (tengah) bersama pegawai agensi-agensi bergambar di bahagian banir pokok mengkundor berusia lebih 100 tahun di Hutan Simpan Gunung Jerai, Gurun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Kewujudan sebatang pokok mengkundor ‘gergasi’ berusia lebih 100 tahun di Hutan Simpan Gunung Jerai diyakini mampu menjadi tarikan baharu pelancongan buat pencinta alam serta golongan yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti pendakian serta penjelajahan hutan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, sebelum ini kisah kewujudan pokok itu atau nama saintifiknya, Tetrameles Nudifllor tidak banyak diketengahkan kepada umum. 

“Namun kerajaan negeri melihat pokok ini memiliki tarikan tersendiri untuk menggamit kedatangan pelancong. Disebabkan itu, saya bersama beberapa agensi mengambil inisiatif untuk melihat sendiri kewujudan pokok ini.

“Untuk sampai ke pokok ini, pengunjung perlu melakukan perjalanan dan pendakian sejauh kira-kira satu kilometer dari kawasan peranginan popular, Titi Hayun. 

“Kedudukan pokok ini juga terletak berhampiran sungai dan aspek itu menjadi nilai tambah untuk pengunjung hadir ke sini,” katanya ketika melihat pokok itu di Denai Puteri Mandi, Kompartmen 20, Hutan Simpan Gunung Jerai di sini, hari ini.

Dengan saiz lilitan banir hampir 200 sentimeter, pokok tersebut dianggarkan sebesar 20 pemeluk orang dewasa dan memiliki ketinggian kira-kira 25 meter atau menyamai bangunan 10 tingkat. 

Bagaimanapun setakat ini, tiada pengesahan sama ada pokok tersebut merupakan spesis mengkundor terbesar kerana perkara itu memerlukan penelitian serta bancian lanjut.

Sementara itu, Pegawai Hutan Daerah Kedah Tengah, Nor Shahriri Nordin Ahmad berkata, pokok mengkundor memiliki taburan yang luas di Gunung Jerai. 

Katanya, pokok yang menjadi tumpuan di kompartmen 20 itu dipercayai merupakan yang tertua dan terbesar selain paling mudah diakses orang awam. 

“Bersandarkan pemerhatian, pokok ini dianggarkan berumur lebih 100 tahun. Taburan pokok mengkundor ini memang banyak di Gunung Jerai namun saiznya berbeza dan pokok di kompartmen 20 ini merupakan yang terbesar.

“Mana-mana pihak yang mahu berkunjung ke lokasi ini perlu mendapatkan permit terlebih dulu melalui Pejabat Hutan Kedah Tengah di Sungai Petani dengan bayaran RM5. Langkah itu penting bagi memastikan kemasukan mereka ke sini direkodkan bagi tujuan keselamatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN