PGA gempur 174 premis jual, simpan barangan kontraban RM13.21 juta

PGA gempur 174 premis jual, simpan barangan kontraban RM13.21 juta

FISOL Salleh pada sidang akhbar berkaitan Op Kontraban Mega PGA di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini. -UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan 174 premis menjual dan menyimpan pelbagai barangan kontraban termasuk rokok dan arak seludup bernilai RM13.21 juta terbongkar selepas digempur Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 26 dan 27 Ogos lalu.

Op Kontraban Mega selama dua hari bermula Selasa dan Rabu lalu diketuai Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut menahan seramai 195 individu termasuk 34 wanita.

Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 hingga 72 tahun yang terdiri daripada 127 rakyat tempatan, Bangladesh (7 orang), Indonesia (30 orang), Pakistan (23 orang), Sri Lanka (1 orang), India (3 orang) serta Filipina (4 orang).

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh berkata, serbuan serentak itu dijalankan di 11 negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, nilai rampasan rokok ialah RM7.79 juta melibatkan 257 jenama, 103,407 liter minuman keras bernilai RM4.56 juta dengan 141 jenama selain minyak masak, kenderaan, mercun serta telefon bimbit.

“Operasi ini turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM13,500,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Siti Mang serta Timbalan Pengarah JKDNKA (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.

Tambah Fisol, siasatan mendapati rokok-rokok seludup itu akan disorok di premis sebelum dijual kepada pelanggan tetap. 

Katanya, dipercayai individu yang ditahan kebanyakan berperanan sebagai penjaga premis selain kegiatan terbabit melibatkan banyak sindiket.

“Rokok (seludup) itu dijual dengan harga jauh lebih murah. Sekitar RM7 hingga RM10 mungkin lagi murah manakala minuman keras tidak bercukai itu disyaki dijual di pusat hiburan dan dicampur dengan yang bercukai,” ujarnya.

Sementara itu, Siti berkata, JKDM akan terus mempertingkatkan operasi secara bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain.

Jelasnya, operasi ini merupakan satu pencapaian antara JKDM dan PDRM dalam melaksanakan operasi.

“Antara tindakan undang-undang yang diambil ialah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN