JOHOR BAHRU: Serangan peribadi yang dibuat segelintir pemimpin parti politik lawan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi disifatkan ketandusan modal kempen.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, serangan peribadi tersebut dibuat selepas rakyat Johor dilihat memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan Onn Hafiz.
“Sokongan ditunjukkan rakyat Johor setakat ini menunjukkan bahawa mereka berpuas hati dengan kepimpinan Onn Hafiz.
“Serangan-serangan yang dibuat termasuklah melibatkan aspek peribadi menunjukkan pihak lawan tiada modal, malahan membuat serangan bersikap peribadi dengan mengatakan Onn Hafiz pendek, budak, angkuh dan sebagainya.
“Kata-kata seperti sengaja bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) awal, sedangkan penggal kerajaan sudah empat tahun dua bulan. Banyak sahaja DUN yang sudah empat tahun dibubarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat Kulai di Dataran Flat Cengal, Taman Putri di sini. Turut hadir, Onn Hafiz yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap.
Sementara itu, Onn Hafiz ketika ucapannya memberitahu beliau tidak terkesan dengan serangan peribadi yang dibuat terhadap dirinya sebaliknya akan terus berjuang bagi memastikan kemenangan BN pada PRN Johor ini.
“Cara mereka berkempen ialah menyerang saya selaku Pengerusi BN Johor, bermula 16 Mei lalu apabila saya umum BN Johor akan bertanding solo dan di semua 56 kerusi DUN.
“Ini suara akar umbi BN, tetapi macam-macam mereka panggil saya, ada yang kata saya tak cukup tinggi, ada yang cakap saya sombong dan bongkak, dipanggil pula saya budak-budak. Tetapi, sikit pun tidak patahkan semangat kita untuk terus berjuang,” katanya. – UTUSAN










