Peserta RXZ Members ‘wajib’ beli oleh-oleh sebelum pulang

Peserta RXZ Members ‘wajib’ beli oleh-oleh sebelum pulang

JULIA Abu Samah (tiga dari kanan) bersama rombongan RXZ Members 7.0 dari Muar, Johor singgah membeli oleh-oleh seperti patung penyu dan keropok lekor sebelum pulang. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Setiap kali pulang daripada perhimpunan motosikal RXZ Members di Terengganu, membeli oleh-oleh seperti keropok lekor, batik dan patung penyu menjadi kemestian buat para peserta, seolah-olah satu tradisi tahunan yang wajib dipenuhi sebelum menamatkan perjalanan mereka.

Seorang peserta RXZ Members 7.0, Julia Abu Samah, 44, dari Muar, Johor, berkata, dia bersama suaminya, Mohd. Azmi Johar, 45, tidak terlepas membeli cenderamata setiap kali menyertai perhimpunan tersebut.

“Setiap tahun kami datang bersama lebih 20 ahli kumpulan dari Muar. Antara barangan wajib beli ialah patung penyu yang menjadi simbol ikonik nege­ri ini. Malah, ini juga sebagai kenangan kerana ia mempunyai kelainan setiap edisi,” katanya ketika ditemui selepas menyertai program itu di Gong Badak, di sini.

Sementara itu, Lutfi Zulkifli, 34, dari Merlimau, Melaka sanggup menempuh perjalanan sejauh 484 kilometer bersama 12 rakannya semata-mata untuk menghadiri program tahunan itu.

“Kalau ke Terengganu tetapi tidak singgah beli keropok lekor, batik dan baju kelawar di Pasar Payang, memang rasa tidak lengkap. Biasanya kami ambil masa lebih enam jam untuk sampai dan sebelum balik kami beli buah tangan untuk keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, pengusaha keropok lekor Sri Tepoh, Nor Akma Abdul Ghani, 46, berkata, sambutan luar biasa daripada peserta RXZ Members membuatkan produknya laris dijual sejak Khamis lalu.

“Sejak Khamis kami sudah mula terima pelanggan dari program RXZ Members. Semua jenis keropok termasuk keropok lekor, keropok keping, keropok frozen dan satar frozen laris dijual.

“Patung penyu pun habis, dalam 200 unit semuanya. Saya terpaksa gandakan pengeluaran keropok tiga kali ganda tahun ini,” katanya yang baru dua tahun menceburi perniagaan tersebut.

Menurut Nor Akma, setiap tahun peserta RXZ singgah ke gerainya, malah pihaknya turut menyediakan minuman percuma sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia.

Perhimpunan RXZ Member 2025 yang berlangsung di Gong Badak, Kuala Nerus selama tiga hari menghimpunkan 150,000 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN