PASIR SALAK: Seorang pesara guru, Noordin Mokhtadi, 68, menganggap dirinya bertuah kerana dilahirkan tepat pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, hari negara mencapai kemerdekaan.
Noordin yang dilahirkan pada jam 11 pagi di Chenderong Balai berkata, tarikh lahirnya itu memberi makna mendalam kerana ia diraikan bersama seluruh rakyat Malaysia setiap tahun.
“Setiap kali tiba 31 Ogos, semua 10 anak saya akan pulang ke kampung untuk meraikan ulang tahun kelahiran saya. Disebabkan tarikh itu sama dengan Hari Kebangsaan, ramai kawan, jiran dan saudara-mara tidak pernah lupa mengucapkan selamat hari lahir,” katanya.
Tahun ini, dia meraikan ulang tahun kelahiran ke-68 bersama keluarga di sebuah homestay baharu yang dibina berdekatan rumahnya, yang akan dihias dengan Jalur Gemilang bagi menambahkan semangat patriotisme.
Mengimbau zaman kecilnya, Noordin berkata, dia tidak pernah memikirkan tentang keistimewaan tarikh lahirnya, malah sering menjadi bahan usikan rakan-rakan. Namun, apabila dewasa, barulah dia sedar keunikan yang dimiliki.
“Sebagai anak merdeka, saya sangat bangga. Antara sambutan yang paling istimewa ialah ketika Hari Kebangsaan ke-50 pada tahun 2007, apabila saya diraikan bersama 50 individu lain di Menara Kuala Lumpur,” katanya.
Selain keluarga dan anak-anak, isterinya, Asmah Punidi, 65, sentiasa menjadi orang pertama yang mengucapkan selamat ulang tahun setiap kali 31 Ogos tiba.
Katanya, usia yang semakin meningkat membuatkan beliau lebih menghargai nikmat kesihatan dan peluang meraikan dua sambutan istimewa serentak, hari lahir dan hari kemerdekaan negara. – UTUSAN