JOHOR BAHRU: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru tidak ditangguhkan dan tiada berlaku kelewatan, sebaliknya dilaksanakan mengikut jadual pada Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, selain itu ujian bagi perkhidmatan ETS ke Kluang akan bermula esok.
“Insya-Allah jika ujian itu berjalan lancar, perkhidmatan ETS antara Segamat dan Kluang boleh bermula seawal 15 Ogos ini.
“Kerja-kerja jajaran ke JB Sentral dijangka siap November, diikuti dengan proses ujian. Sekiranya semua lancar, kita jangka perkhidmatan ETS ke dan dari JB Sentral dapat dimulakan pada Disember ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau merujuk dakwaan di media sosial yang menyatakan perkhidmatan tren tersebut ke JB Sentral dijangka akan ditangguhkan ke tahun depan susulan beberapa isu teknikal.
Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan pembangunan perkhidmatan Sistem Transit Rapid kedua (RTS2) antara Iskandar Puteri dan Tuas, Singapura kepada kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Malaysia dan Singapura sedang membincangkan cadangan tersebut termasuk pelaksanaan kajian terperinci mengenai jumlah penumpang, reka bentuk serta jajaran bagi RTS2.
“Buat masa kini, RTS yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor dan Woodlands North, Singapura bakal beroperasi pada tahun 2027, kita percaya satu lagi pengangkutan awam yang efisien turut diperlukan di LinKedua,” katanya.
Pada 31 Julai lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah menyampaikan cadangan tersebut secara rasmi kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di samping telah diperkenankan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. – UTUSAN










