JOHOR BAHRU: Tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) keluar dari Kuala Lumpur menuju ke semua destinasi seluruh negara sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini telah habis terjual.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Afzar Zakariya berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak 252,000 tiket sempena musim perayaan ini dengan kini berbaki hanya sekitar 35,000 tiket menuju ke Kuala Lumpur.
“Walaupun jualan tiket sebanyak 86 peratus, tetapi bagi destinasi ke luar dari Kuala Lumpur untuk pulang sempena Aidilfitri, semua sudah habis dijual.
“Antara destinasi paling awal habis terjual adalah dari Kuala Lumpur ke Butterworth, Ipoh dan Padang Besar,” katanya kepada pemberita semasa meninjau operasi ETS di JB Sentral, di sini hari ini.
Tambah Afzar, pihaknya telah menambah jumlah perjalanan daripada 46 perjalanan sehari pada waktu biasa kepada 62 perjalanan sehari menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini susulan permintaan tinggi diterima pihaknya.
“Jumlah perjalanan maksimum yang boleh kita sediakan sehari adalah 70 ‘trip’, tetapi buat masa ini kita tambah menjadi 62 terlebih dahulu bagi menampung permintaan tinggi yang diterima.
“Sementara itu, KTMB turut menasihati orang ramai yang mahu pulang ke Kuala Lumpur selepas perayaan Aidilfitri untuk membuat pembelian tiket lebih awal,” katanya.
Perkhidmatan ETS bagi laluan KL Sentral-Johor Bahru mula beroperasi pada 12 Disember lalu selepas dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stesen KTMB Kempas Baru. – UTUSAN










