LUMUT: Perak FA dan Kedah FA seri tanpa jaringan dalam perlawanan bola sepak Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebentar tadi.
Walaupun berusaha gigih tetapi penyudah tumpul menjadi faktor kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol.
Selepas tumpas pada perlawanan pertama empat hari lalu, pasukan tuan rumah bimbingan Shamsul Saad berjaya mempamerkan permainan lebih berkesan.
Perak mengasak bertubi-tubi pada separuh kedua tetapi gagal mendapatkan jaringan gol.
Kehadiran pemain import dari Kenya, Christian Ikwudiri Chukwu gagal membantu pasukan tuan rumah.
Malah pemain yang kali pertama diturunkan itu belum nampak memberikan sumbangan untuk pasukan.
Kedah, yang seri dalam perlawanan pertama memberikan saingan dengan anak didik Victor Andraj itu bebarapa kali melepasi pertahanan Perak tetapi tidak dapat menewaskan Ahmad Syazwan Syazany di gawang gol.
Kedua-dua pasukan mencuba sedaya upaya untuk memecah benteng lawan tetapi tidak berjaya untuk perlawanan berakhir dengan Perak dan Kedah berkongsi mata. – UTUSAN