PETALING JAYA: Kerajaan akan menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat yang mengurus dan menyelesaikan aduan awam melibatkan isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat.
Ombudsman adalah badan bebas mengamalkan konsep tidak memihak dalam menguruskan aduan disalurkan orang awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 8 yang dipengerusikan olehnya semalam.
“Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia dijangka dibentangkan pada awal 2026.
“Penubuhan ombudsman tersebut dilihat sebagai satu lagi komitmen kerajaan dalam usaha memperkukuh hak rakyat serta memastikan integriti sektor awam terus terpelihara,” katanya semalam.
Anwar berkata, kerajaan akan memberi penekanan kepada aspek pematuhan korporat bagi syarikat yang mengurus dana awam, termasuk perusahaan dimiliki atau dikawal oleh kerajaan (SOE)
serta anak syarikat badan berkanun.
“Langkah ini bertujuan memastikan mandat sosial syarikat dilaksanakan mengikut standard tadbir urus yang baik serta disokong kerangka undang-undang yang lebih tersusun.
“Cadangan penggubalan undang-undang baharu bagi menyelaras SOE turut dibincangkan sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh kebertanggungjawaban serta ketelusan dalam pengurusan entiti milik negara,” katanya.
Katanya segala persetujuan yang dicapai menerusi mesyuarat tersebut mencerminkan iltizam berterusan kerajaan untuk memacu reformasi institusi, dasar dan perundangan secara holistik
demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap ketelusan pentadbiran negara serta mutu perkhidmatan awam.
Sementara itu, ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya semalam.
Anwar mengarahkan Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang bersikap sambil lewa atau gagal menyiapkan projek mengikut jadual, bagi memastikan pembangunan infrastruktur yang menjadi tonggak negara berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, perkara itu penting kerana kementerian itu bertanggungjawab terhadap pelbagai projek pembangunan membabitkan kepentingan rakyat.
“Kena sentiasa ada usaha untuk kita percepatkannya kerana misalnya ada orang memerlukan jambatan itu siap pada Januari, tetapi tertangguh hingga Februari, sebulan dia derita, tertangguh
lagi enam bulan, dia sengsara, tertangguh 10 bulan jadi duka lara.
“Banyak projek infrastruktur ini tonggaknya KKR (Kementerian Kerja Raya). Jika berjaya, berjayalah pembangunan itu, jadi, kementerian perlu senaraikan semua projek, berapa ratus projek atau mungkin ribu di negara kita.
“Pastikan rekod prestasi mereka, jangan tunggu sehingga selesai, kalau asyik sambil lewa dan lambat, kita nak (KKR) ambil sikap le bih keras pada kontraktor,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan juga nekad menyelesaikan masalah kemudahan asas dan prasarana di Sabah dengan kadar segera bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri di bawah bayu itu.
Beliau melihat sendiri dan memahami mengapa rakyat di Sabah marah kerana masalah kemudahan asas mereka masih tidak di selesaikan walaupun kerajaan dan Perdana Menteri sering berganti.
“Saya sebagai manusia faham (mengapa mereka) marah, dia kata ‘menteri, kerajaan (dan) Perdana Menteri silih berganti tetapi air (masih) belum berganti, elektrik belum dipasang (dan) jalan
lubanglubang’.
“Jadi dia resah (dan) belum cukup yakin, saya tidak salahkan mereka walaupun kita (kerajaan) telah luluskan jumlah kewangan paling besar dalam sejarah (iaitu sehingga) RM17 bilion, untuk air
(sahaja) dekat RM1 bilion (dan) untuk elektrik (pula) RM1.2 bilion tetapi belum siap.
“Jadi selagi belum siap, kerana dia rasa terpinggir sekian lama, kita boleh faham. Sebab itu saya tidak ambil sikap sesetengah orang politik yang marah kerana tidak dapat sokongan, saya cuba
faham,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan terus memantau pelaksanaan projek projek di Sabah dan mesyuarat bulanan akan dilakukan bagi membincangkan mengenai ke perluan asas rakyat di negeri tersebut.










