Thailand-Kemboja kembali berperang

Thailand-Kemboja kembali berperang

SEBAHAGIAN daripada penduduk Kemboja di Preah Vihear berpindah susulan perang yang berlaku antara negara itu dengan Thailand di kawasan sempadan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pergolakan antara Thai­land dan Kemboja kembali memuncak apabila tentera Thailand melancarkan sera­ngan udara terhadap Kemboja semalam selepas pertempuran terbaharu tercetus di kawasan sempadan.

Setakat ini, konflik terbaharu itu me­ra­gut nyawa sekurang-ku­rang­nya dua tentera Thailand dan em­pat penduduk awam Kembo­ja.

Konflik rentas sempadan a­n­­ta­­ra Thailand dan ­Kemboja se­belum ini tercetus pada per­­te­­ngahan tahun ini, me­ngor­ban­kan 43 orang dan me­maksa 300,000 penduduk dipindahkan sebelum gencatan senjata dicapai.

Bulan lalu, Bangkok menggantung perjanjian damai yang dipersetujui dengan pengan­taraan Presiden Amerika Sya­rikat (AS) Donald Trump, sele­pas beberapa anggotanya ce­dera akibat letupan periuk api.

Sejak itu, beberapa insiden tembak-menembak kecil berlaku di sepanjang sempadan sebelum kembali meletus pada Ahad dan Isnin, memaksa ribuan penduduk Thailand dan Kemboja melarikan diri ke kawasan selamat.

Hampir 35,000 penduduk Thailand dipindahkan, mana­kala Kemboja melaporkan lebih 1,100 keluarga meninggalkan rumah mereka.

Menurut jurucakap Tentera Diraja Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree, dua anggota tentera terbunuh dan lapan lagi cedera dalam serangan awal pagi oleh tentera Kemboja.

Susulan itu, Thailand menggunakan jet pejuang F-16 bagi melumpuhkan kedudukan artileri lawan yang didakwa menyebabkan korban di pihaknya.

Katanya, serangan udara dilakukan secara tepat dan hanya menyasarkan sasaran ketenteraan sepanjang garisan pertempuran.

“Serangan ini ­bertujuan menghentikan tembakan so­kongan Kemboja dan me­ngelakkan risiko terhadap penduduk awam,” katanya.

Namun, Kemboja menafikan dakwaan itu. Jurucakap Kementerian Pertahanannya, Maly Socheata mendakwa Thailand terlebih dahulu menyerang beberapa kawasan termasuk Preah Vihear dan Oddar Meanchey, selain menembak ke arah kuil Tamone Thom menggunakan kereta kebal.

Beliau turut mendakwa se­rangan udara F-16 Thailand sekitar pukul 9 pagi mencedera­kan beberapa penduduk dan memusnahkan rumah mereka.

Media Kemboja turut melaporkan seorang wartawan cedera terkena serpihan roket Thailand di Oddar Meanchey, manakala askar di Preah Vihear mendakwa Thailand menembak beberapa butir peluru merentasi sempadan.

Thailand pula menuduh Kemboja melepaskan roket BM-21 ke arah kawasan awam di Buri Ram, namun tiada kecederaan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa kedua-dua negara supaya meredakan keadaan dan segera kembali ke meja rundingan bagi mengelakkan konflik daripada terus merebak serta menjejaskan keselamatan serantau.

Anwar berkata, kestabilan blok ASEAN bergantung kepada keupayaan negara anggota menyelesaikan pertikai­an secara aman, khususnya melibatkan ketegangan antara Kemboja dan Thailand yang kembali memuncak.

“Keutamaan segera adalah menghentikan pertempuran, melindungi orang awam dan kembali ke landasan diplomasi berpaksikan undang-undang antarabangsa serta semangat kejiranan ASEAN,” katanya da­lam hantaran di Facebook.

Anwar berkata, rantau ­ASEAN tidak wajar membiarkan pertikaian berpanjangan bertukar menjadi kitaran konfrontasi yang boleh mengancam keamanan.

Malaysia katanya, bersedia menyokong sebarang usaha diplomatik yang boleh membantu memulihkan keadaan dan mengelakkan insiden lebih buruk berlaku.

Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera, sambil mengingatkan bahawa konflik yang berulang berisiko meruntuhkan usaha jangka panjang dalam memulihkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN