‘Saya menang dengan cara sendiri’

‘Saya menang dengan cara sendiri’

PELUMBA pasukan McLaren, Lando Norris mengesahkan kedudukannya sebagai juara dunia walaupun menamatkan perlumbaan Grand Prix Abu Dhabi di tempat ketiga, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI: Juara dunia Formula Satu (F1) yang baru dinobatkan, Lando Norris mengakui berasa bangga apabila memenangi gelaran dunianya yang pertama dengan caranya sendiri.

“Itu salah satu perkara yang paling membuat saya bangga. Saya rasa saya berjaya memenanginya dengan cara yang saya mahukan, iaitu bukan dengan menjadi seseorang yang bukan diri saya.

“Tanpa cuba menjadi agresif seperti Max (Verstappen) atau sekeras juara lain pada masa lalu, saya gembira. Saya memenanginya dengan cara saya sendiri, dengan menjadi pemandu yang adil, dengan cuba menjadi pemandu yang jujur.

“Ada masanya, bolehkah saya menjadi lebih agresif dan lepaskan brek sedikit awal dan potong beberapa orang?

“Sudah tentu boleh dan mungkin saya perlu lakukannya pada masa depan tetapi adakah itu diri saya? Tidak. Adakah itu cara saya mahu berlumba? Adakah itu diri saya? Bukan,” kata pelumba McLaren itu.

Pelumba berusia 26 tahun itu meraih kejuaraan pemandu pertamanya untuk melengkapkan gelaran berganda McLaren yang pertama sejak 1998 dengan pemanduan sempurna, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang pemenang Verstappen dari Red Bull dan rakan sepasukan Oscar Piastri.

Norris kelihatan sebak memenangi gelaran itu dengan kelebihan dua mata di depan Verstappen, terlepas kejuaraannya setelah empat tahun berturut-turut, dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Abu Dhabi yang penuh ketegangan dan emosi, didominasi oleh strategi dan taktik.

Norris turut berterima kasih kepada pasukan, keluarga dan rakan-rakannya atas sokongan mereka dalam kejayaannya, dengan gaya rendah diri yang menjadikannya salah seorang pemandu paling popular dalam F1.

“Saya rasa bangga tetapi bukan kerana saya akan bangun esok dan berkata, ‘Saya kalahkan semua orang’.

“Saya bukan bangga kerana saya hanya boleh berkata saya seorang juara dunia. Saya bangga kerana saya rasa saya telah membuat ramai orang lain gembira,” katanya. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN