NARATHIWAT: Lebih 10 penyerang membakar dan meletupkan beberapa kenderaan berat serta merosakan loji janakuasa biojisim di Daerah Waeng di wilayah Narathiwat, di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Jurucakap polis daerah berkata, buat masa ini pihak forensik belum mengesahkan sama ada tiga letupan itu berpunca daripada bom atau sebaliknya.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Daerah Waeng diketuai Kolonel Herman Chedi dan tentera dihantar ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan serta mengepung kawasan itu.
“Bagaimanapun, memandangkan kedudukan loji janakuasa berkenaan di tempat tinggi selain asap tebal dan keadaan muka bentuk bumi, pasukan itu bimbang penyerang melakukan serang hendap.
“Kita hanya masuk untuk pemeriksaan pagi ini. Pelaku mungkin merancang melakukan serang hendap terhadap pasukan penyiasat jika memasuki kawasan itu malam tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, melalui siasatan yang dijalankan penyerang menyerbu pos pemeriksaan dan mengikat pengawal keselamatan sebelum memasuki loji berkenaan kira-kira 20 minit.
“Tiga letupan berlaku iaitu kira-kira lima minit setiap satu. Kemudian pelaku melarikan diri ke belakang loji berkenaan. Siasatan mendapati kumpulan penyerang memasuki loji berkenaan melalui kawasan bersebelahan Sungai Golok,” katanya.
Tahun lalu, dua loji elektrik biojisim dibakar di Daerah Mae Lan, Pattani dan Saba Yoi, Songkhla. – UTUSAN










