KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengintegrasikan Sistem Pengurusan Penjagaan Klinik (CCMS) dengan aplikasi MySejahtera bagi mempercepat proses rawatan pesakit dengan memudahkan akses kepada rekod kesihatan dan mengurangkan kesesakan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, penggunaan sistem digital bersepadu itu terbukti meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan menangani isu tempoh menunggu yang panjang, mempercepatkan capaian maklumat pesakit serta memudahkan penjadualan temujanji.
Katanya, pelaksanaan CCMS di klinik kesihatan menunjukkan impak ketara terhadap pengurangan masa menunggu pesakit.
“Sebelum pelaksanaan CCMS, tempoh menunggu untuk berjumpa pegawai perubatan di sesetengah klinik boleh mencecah sehingga tiga jam bergantung kepada jumlah kehadiran pesakit dan beban kerja.
“Selepas sistem itu diperkenalkan, sebanyak 81 peratus pesakit berjaya berjumpa pegawai perubatan dalam tempoh 60 minit, manakala baki 19 peratus menerima rawatan dalam tempoh antara 60 hingga 90 minit mengikut tahap kes dan kapasiti klinik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang meminta kementerian menyatakan sejauh manakah keberkesanan inisiatif digitalisasi sistem kesihatan awam seperti MySejahtera dan rekod kesihatan elektronik dalam mengurangkan kesesakan.
Mengulas lanjut, Hanifah turut berkata, pendigitalan proses kerja melalui CCMS turut membantu melancarkan aliran rawatan, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan pengalaman pesakit di klinik kesihatan.
Pada masa sama, aplikasi MySejahtera kini membolehkan orang ramai membuat tempahan temu janji bagi 18 jenis perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan dan klinik pergigian dengan lebih 29 juta transaksi temu janji direkodkan setakat ini.
Katanya, kemudahan itu dijangka diperluaskan ke klinik pakar hospital dalam masa terdekat, selain merangkumi pelbagai perkhidmatan lain termasuk vaksinasi, pemeriksaan bakal haji dan prosedur perubatan.
“Sehingga kini, aplikasi itu telah mengintegrasikan rekod kesihatan membabitkan kira-kira 30 juta individu bagi rekod vaksinasi, 12 juta rekod preskripsi ubat, lima juta rekod pergigian, lima juta rekod saringan kesihatan serta satu juta rekod lawatan klinik.
“Inisiatif ini memudahkan akses kepada rekod kesihatan, mempercepatkan proses rawatan serta meningkatkan kesinambungan penjagaan pesakit antara fasiliti kesihatan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan,” katanya.
Dalam memperkukuh agenda pendigitalan, KKM turut memaklumkan sistem sedia ada akan digantikan secara berperingkat dengan Total Hospital Information System (THIS), melibatkan 20 hospital dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Ia termasuk maklumat makmal, pengimejian ataupun darah dan farmasi,” katanya.










