Mohd. Uzir bersara selepas 36 tahun perkukuh sistem statistik negara

Mohd. Uzir bersara selepas 36 tahun perkukuh sistem statistik negara

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin bersara hari ini selepas lebih 36 tahun berkhidmat dalam bidang perangkaan negara.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan berkata, Mohd. Uzir yang menerajui jabatan itu sejak 2017 meninggalkan legasi besar dalam memperkukuh Sistem Statistik Negara.

Menurut DOSM, sepanjang tempoh perkhidmatannya, jabatan itu melalui anjakan paradigma signifikan daripada institusi pengeluar statistik rasmi kepada agensi data strategik negara yang berteraskan integrasi data, analitik lanjutan, sains data dan kecerdasan buatan.

“Di bawah kepimpinan beliau, statistik tidak lagi sekadar dilihat sebagai instrumen pelaporan sebaliknya diangkat sebagai aset strategik negara yang menyokong perancangan pembangunan, tadbir urus dan pembuatan keputusan berasaskan bukti,” katanya.

Menurut DOSM, antara legasi terbesar Mohd. Uzir ialah kejayaan memperkukuh Sistem Statistik Negara melalui agenda Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) yang menjadi kerangka utama memperkasa koordinasi dan kualiti statistik rasmi merentasi kementerian serta agensi kerajaan.

Katanya, pelbagai pembaharuan strategik turut dilaksanakan termasuk penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) serta pemodenan Akta Perangkaan 1965 untuk disesuaikan dengan era digital.

“Mohd. Uzir turut mempelopori agenda pendemokrasian data melalui OpenDOSM NextGen yang memperluas akses rakyat kepada statistik rasmi secara terbuka dan mesra pengguna.

“Selain itu, beliau memperkenalkan tiga operasi statistik terbesar negara iaitu Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Banci Pertanian 2024 serta Banci Ekonomi 2026 yang sedang dilaksanakan,” katanya.

DOSM berkata, di peringkat antarabangsa, kepimpinan Mohd. Uzir berjaya mengangkat nama Malaysia sebagai peneraju statistik rasmi dunia.

Katanya, Malaysia mencipta sejarah apabila menduduki tempat pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan Open Data Watch, mengatasi 197 negara lain.

Menurut DOSM, kedudukan itu merupakan lonjakan besar daripada tangga ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23.

Dalam usaha membudayakan statistik, Mohd. Uzir turut menjayakan pengisytiharan Hari Statistik Negara (HSN) yang disambut pada 20 Oktober setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan data dalam kehidupan.

“Legasi yang ditinggalkan Mohd. Uzir khususnya dalam aspek integriti, profesionalisme dan pembelajaran sepanjang hayat akan terus menjadi inspirasi kepada warga jabatan itu dalam meneruskan transformasi statistik negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN