PM Thailand lawat Malaysia esok, rasmi jalan baharu antara ICQS Bukit kayu Hitam-Sadao

PM Thailand lawat Malaysia esok, rasmi jalan baharu antara ICQS Bukit kayu Hitam-Sadao

ANUTIN CHARNVIRAKUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula esok atas jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Kementerian Luar, lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri pada Mac lalu.

Pada hari kedua lawatan pemimpin itu, kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan lawatan bersama ke Bukit Kayu Hitam, Kedah, bagi menyempurnakan majlis perasmian jalan baharu antara Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Malaysia dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

Katanya, sebaik tiba di negara ini, Anutin akan diraikan dalam satu majlis sambutan rasmi di Kompleks Bunga Raya, diikuti dengan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri bagi membincangkan dan menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia–Thailand.

“Ini termasuk membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama, termasuk perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan sempadan, keselamatan, pertanian, pelancongan, pendidikan dan hubungan antara rakyat.

“Kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa dalam kerangka ASEAN serta mekanisme kerjasama serantau yang lain,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertanian yang mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Thailand untuk terus memperkukuh kerjasama dalam sektor itu.

Katanya, Perdana Menteri seterusnya akan meraikan Anutin serta delegasi Thailand dalam satu majlis makan tengah hari rasmi.

Katanya, lawatan ini sebahagian daripada siri pertukaran lawatan di peringkat Perdana Menteri selepas Lawatan Kerja Anwar ke Thailand pada 17 hingga 19 April 2025, dan lawatan rasmi bekas Perdana Menteri Thailand ke Malaysia pada 16 Disember 2024.

“Ia mencerminkan jalinan persahabatan yang erat dan mesra antara kedua negara selaku jiran tetangga dan Negara Anggota ASEAN,” katanya.

“Pada tahun 2025, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM118.57 bilion (AS$27.73 bilion).

“Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand mencecah RM31.33 bilion (AS$7.90 bilion), berbanding RM27.35 bilion (AS$6.15 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2025,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN