Penuntut UniSZA serlah kreativiti pameran berteraskan AI

Penuntut UniSZA serlah kreativiti pameran berteraskan AI

PENGUNJUNG melihat lebih dekat rekaan model perabot berasaskan kecerdasan buatan (AI) hasil ciptaan pelajar tahun akhir Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dipamerkan dalam EXCEED25 di Mayang Mall, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sebanyak 57 karya reka bentuk hasil kreativiti penuntut tahun akhir Program Reka Bentuk Perindustrian Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dipamerkan menerusi acara EXCEED25 yang berlangsung selama 10 hari di Ombak Bazaar, Mayang Mall, Kuala Terengganu, dekat sini, baru-baru ini.

Pameran yang memasuki edisi ke-15 itu membawa tema AI-Led Design: User-Centered Design dengan mengetengahkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses reka bentuk produk yang lebih responsif dan bersifat inklusif.

Ketua Pusat Pengajian Reka Bentuk Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) UniSZA, Dr. Amirul Fahmi Razali berkata, pelajar didorong menerapkan AI dalam pelbagai peringkat bermula daripada kajian pengguna hingga pemurnian akhir reka bentuk berpandukan data analitik.

Katanya, integrasi AI bukan sahaja memperkasa kemahiran teknikal pelajar malah membentuk keupayaan berfikir secara sistematik dan empati dalam menyelesaikan masalah reka bentuk yang kompleks.

“Pendekatan ini membolehkan pelajar menghasilkan penyelesaian reka bentuk yang lebih responsif terhadap keperluan sebenar pengguna, berpandukan data yang disokong oleh teknologi.  Teknologi dan kreativiti kini mampu bergabung secara harmoni untuk menghasilkan inovasi berimpak tinggi serta berpaksikan keperluan sebenar manusia,” katanya.

Pameran anjuran Pusat Pengajian Reka Bentuk (CODES) dengan kerjasama Kelab Reka Bentuk Perindustrian (IDEC) itu mengetengahkan tiga kategori utama iaitu Reka Bentuk Produk, Perabot dan Automotif. Sebagai penghargaan, empat anugerah disampaikan meliputi Reka Bentuk Produk Terbaik, Perabot Terbaik, Automotif Terbaik serta Anugerah Penyelidikan Terbaik.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut mencuri tumpuan apabila hadir membuat lawatan serta memuji profesionalisme dan semangat inovatif pelajar.

“EXCEED25 membuktikan anak muda negara bukan sahaja kreatif malah bersedia bersaing di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN