PETALING JAYA: Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurul Anis Syahirah Mohd Nasri, mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila dinobatkan juara Kategori Rekaan Cincin di Anugerah Rekaan Barang Kemas Penang Signature Gold, Gems And Jewellery (PSG) 2025.
Turut membanggakan, sembilan lagi pelajar UiTM berjaya mara ke peringkat akhir dalam pelbagai kategori di pertandingan itu.
Menurut UiTM, pertandingan berprestij itu menerima penyertaan daripada peserta seluruh dunia termasuk Institut Kraf Negara dengan menampilkan empat kategori utama iaitu kalung, gelang, cincin dan subang.
Katanya, Nurul Anis Syahirah menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang menang dalam kategori pelajar di peringkat antarabangsa yang menyaksikan pelajar dari China mengungguli kategori kalung, gelang dan subang.
“Kejayaan ini mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai peneraju pendidikan industri kreatif, sekali gus membuktikan komitmennya melahirkan pereka barang kemas profesional yang mampu bersaing di peringkat global.
“Selain itu, pencapaian tersebut turut membuka laluan kerjaya luas untuk para graduan dalam bidang ini,” katanya dalam kenyataan.
Acara itu dianjurkan oleh Elite Expo Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Tukang Emas dan Barang Kemas Pulau Pinang serta Jabatan Seni Reka Teknologi Barang Kemas UiTM.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam, Prof. Madya Ts. Dr. Azhar Abd Jamil. – UTUSAN










