Sambut baik perkhidmatan feri Kuala Perlis-Satun

Sambut baik perkhidmatan feri Kuala Perlis-Satun

Pix ABU Bakar Hamzah (dua dari kanan) bersalaman dengan Nopporn Nupech (kiri) pada Majlis Kunjung Hormat Delegasi Satun ke Jeti Kuala Perlis bersempena pembukaan semula sempadan di sini, Kuala Perlis, Perlis, hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelancong menyambut baik perkhidmatan feri dari Satun-Kuala Perlis yang sememangnya amat dinantikan, selain memberi impak positif buat pelbagai pihak.

Seorang pengunjung, Assaman Ma-Ormeen, 52, berkata, pihaknya berharap pembukaan semula perkhidmatan berkenaan dapat memberi kemajuan khususnya dalam sektor pelancongan di Wilayah Satun, Thailand dan Kuala Perlis.

“Pembukaan ini merupakan satu peluang yang baik untuk sektor pelancongan melibatkan dua kawasan antara Satun dan Kuala Perlis,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kunjung Hormat Delegasi Satun ke Jeti Kuala Perlis bersempena pembukaan semula sempadan di sini, hari ini.

Ketibaan delegasi itu diketuai Timbalan Gabenor Satun, Nopporn Nupech dan disambut oleh Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, pengaktifan semula laluan tersebut diharap dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini melalui Kuala Perlis sebelum meneruskan perjalanan ke Satun.

“Tempoh perjalanan hanya 40 minit dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan di pintu masuk darat seperti Padang Besar dan Wang Kelian khususnya musim cuti,” katanya.

Ujar Abu Bakar, selain aspek pelancongan, pembukaan laluan itu turut menyelesaikan beberapa isu dihadapi penduduk di kedua-dua negara khususnya mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan antara Perlis dan Satun.

Katanya, sebelum ini, pihak terlibat juga perlu mendapatkan kebenaran khas daripada Jabatan Imigresen serta agensi berkaitan untuk menziarahi ahli keluarga terutama penduduk di kawasan Pulau Panjang, Puyu, Tanjung Gabus dan Tammalang di Thailand.

“Kini mereka hanya perlu menggunakan pasport seperti di pintu masuk antarabangsa yang lain. Perkhidmatan ini akan mempercepatkan urusan perjalanan dan saya percaya hampir 90 peratus penduduk di selatan Thailand mempunyai hubungan kekeluargaan dengan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri turut mensasarkan kehadiran pelancong ke negeri ini sekitar lima ke enam juta pada tahun ini.

“Ini kerana laluan Kuala Perlis-Satun menawarkan panorama yang cukup menarik sepanjang perjalanan, berbeza dengan laluan darat melalui Padang Besar atau Wang Kelian. Keindahan tersebut menjadi satu lagi tarikan kepada pelancong,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN