MELAKA: Seorang penjawat awam dan enam kontraktor direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas mereka disyaki mengemukakan dokumen palsu berkaitan pembekalan perkhidmatan makan dan minum berjumlah RM139,100 tahun lalu.
Perintah reman sehingga 18 Ogos ini dikeluarkan Majistret N. Sivashangari terhadap suspek masing-masing empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 32 dan 52 tahun itu.
Kesemua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.15 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebelum itu, kesemua suspek ditahan antara pukul 11.24 pagi dan 12.05 tengah hari semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
Menurut sumber, kesemua suspek dipercayai terlibat mengemukakan dokumen kerja membabitkan enam syarikat berbeza bagi memperoleh tuntutan pembekalan perkhidmatan makan dan minum berjumlah keseluruhan RM139,100 sedangkan pembekalan tersebut tidak pernah dilaksanakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.










