PUTRAJAYA: Penjawat awam di seluruh negara disaran mengamalkan dan membudayakan gaya hidup sihat demi kesejahteraan diri, keluarga dan negara.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, saranan itu penting bagi mencapai matlamat ‘Rakyat Sihat, Negara Makmur’ yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Marilah kita bersama-sama mengambil inisiatif untuk kekal aktif dan menyertai aktiviti sukan secara konsisten demi kesejahteraan diri, keluarga dan negara,” katanya ketika ditemui pada Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX 2025) di sini, hari ini.
Katanya, beliau menyifatkan sambutan Larian MAPPA XX 2025 sangat membanggakan dengan penyertaan 12,000 peserta.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pihaknya akan menjadikan acara larian sebagai program tahunan.
Menurutnya, penyertaan luar biasa kali ini menunjukkan bahawa tahap kesedaran kepada kesihatan dalam kalangan penjawat awam meningkat berbanding edisi larian sama tahun lalu.
“Dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat sebegini, Insya-Allah saya penuh yakin bahawa produktiviti dan juga cara kerja penjawat awam akan lebih baik dan minda yang bagus akan datang daripada badan yang sihat,” katanya.
Katanya, penyertaan dua kali ganda peserta berbanding edisi lalu mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam dan rakyat.
Beliau berkata, edisi lalu hanya di Putrajaya, namun kali ini ia diperluaskan ke seluruh negara meliputi wilayah timur, utara, Sabah dan Sarawak sebelum kemuncak larian berlangsung di Putrajaya dan berakhir di Johor pada 16 Ogos ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, tujuan utama Larian MAPPA ini bukan sahaja untuk memperkenalkan Majlis Amal Perdana Perkhidmatan Awam, tetapi juga untuk memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam.
Lebih menarik, katanya, penganjuran tahun ini turut mendapat kerjasama pihak swasta sebagai rakan strategik, selain penyertaan aktif pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
“Walaupun majoritinya disertai penjawat awam, kita juga menerima penyertaan daripada sektor swasta dan rakyat secara umum,” katanya.
Katanya, bagi penganjuran seterusnya, pihaknya berhasrat untuk meletakkan acara lain dalam bulan Ogos bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.
Larian MAPPA pada kali ini dilihat sebagai platform memperkukuh semangat kesatuan, memperluas jaringan kerjasama awam-swasta dan memperkasakan gaya hidup lebih sihat ke arah menjadikan penjawat awammlebih cergas, sihat dan produktif. – UTUSAN