KUANTAN: Seorang penjaga kebun didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan rasuah RM1,500 kepada seorang anggota polis, tahun lalu.
Hiew Chee Yong, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut kertas pertuduhan, Chee Yong menawarkan wang tunai berkenaan kepada seorang sarjan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebagai dorongan untuk melepaskan dua lelaki yang ditahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Perbuatan itu dilakukan di Lokap Berpusat Indera Mahkota kira-kira pukul 3.10 petang pada 6 Mei tahun lalu. Bagi kesalahan itu, Chee Yong didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguamnya, Muhamad Saifuldin Ab Rahman merayu hukuman denda minimum dikenakan dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung isteri, dua anak serta ibu uzur.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad mencadangkan hukuman setimpal dikenakan kerana kesalahan terbabit merupakan satu kesalahan serius.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar, serta memerintahkan wang rasuah RM1,500 itu dilucuthakkan kepada kerajaan. – UTUSAN










