Pemuda Amanah Negeri Sembilan cadang PH bertanding solo pada PRU16

Pemuda Amanah Negeri Sembilan cadang PH bertanding solo pada PRU16

UMAR MOKHTAR ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan mencadangkan Pakatan Harapan (PH) perlu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) secara berasingan daripada gabungan Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Biro Pilihan Raya Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Umar Mokhtar Abdullah berkata, cadangan itu adalah susulan senario di Melaka dan Johor di mana terdapat cadangan pertandingan tiga penjuru berlaku.

“Kami di Negeri Sembilan juga menyatakan kesediaan yang sama untuk bertanding tiga penjuru.

“Perkara (keputusan) ini berbalik kepada pimpinan atasan juga kerana kita di peringkat sayap, akar umbi ini cuma mampu melihat keadaan semasa serta menyatakan hasrat sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Ujar Umar Mokhtar lagi, cadangan berkenaan berserta usul bertanding tiga penjuru oleh Melaka dan Johor dilihat mempunyai kesan berantai hingga ke peringkat Persekutuan.

“Tiada isu atau halangan daripada segi Perlembagaan dan apa jua bentuk memorandum memorandum persefahaman (MoU) untuk PH, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan mana-mana gabungan untuk memilih bertanding PRU-16 secara berasingan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menyatakan kesedian sebagai jentera PH sekiranya menghadapi PRU16 secara tiga penjuru.

“Kami jangkakan mungkin dua tahun lagi atau lebih untuk PRU16, daripada segi persediaan kami di akar umbi sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan.

“Bergabung atau tidak kami tetap bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Menurut Umar Mokhtar lagi, secara peribadi, beliau lebih menyukai pertandingan tiga penjuru kerana masing-masing boleh menunjukkan kekuatan masing-masing.

“Namun secara rasionalnya, kalau gabungan lebih baik untuk rakyat terpaksa terima lah (bertanding bersama Kerajaan Perpaduan),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN