BUTTERWORTH: Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohamad Yusri Hafiez Yahya, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah bilik tidur di Bandar Putra Bertam dalam Seberang Perai Utara, kira-kira pukul 2 pagi pada 1 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed yang tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh adalah rakan mangsa.
“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya cadangkan RM12,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan,” katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM1,500 dan perlu menanggung ibu bapanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa termasuk saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 September sementara menunggu mendapatkan laporan perubatan.










