KUALA LUMPUR: Pematuhan terhadap Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 terpakai kepada guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sama seperti pekerja sektor swasta yang lain.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, perintah itu sama seperti yang dikenakan kepada pekerja sektor swasta lain.
Beliau berkata jika terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap perintah terbabit ia boleh dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi membolehkan siasatan dilakukan.
“Pematuhan terhadap gaji minimum tetap terpakai kepada guru Pasti sama seperti pekerja sektor swasta yang lain,” katanya semasa penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab isu dibangkitkan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang sebelum ini menyifatkan keadaan lebih 9,500 guru pra-sekolah kendalian PAS sebagai ‘tidak adil’ kerana hanya terima elaun antara RM600 hingga RM700, jauh di bawah kadar gaji minimum.
Ketika berbahas di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu, Nik Nazmi berkata ramai ibu bapa memilih menghantar anak mereka ke Pasti kerana yuran rendah.
Namun hampir 10,000 guru di pusat itu hanya menerima elaun sekitar RM600 tanpa perlindungan sosial asas.
“Antara tarikan adalah selain mendakwa pendidikan Islam, kos yang rendah. Namun banyak aduan tentang Pasti tidak mematuhi aspek silibus, pengajian guru. Aduan termasuk daripada guru-guru Pasti sendiri,” kata bekas menteri itu.
Justeru, beliau berharap langkah pembetulan dapat diambil oleh Jawatankuasa Khas Pendidikan Prasekolah Islam yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di bawah Majlis Sosial Negara.
Isu gaji guru Pasti bukan perkara baru dan telah dibangkitkan sejak bertahun lalu.
Pada Mac 2024, pihak berkuasa dilaporkan memberi perhatian terhadap rangkaian tadika dan sekolah Pas susulan pertikaian gaji yang melibatkan guru-gurunya.
Berdasarkan memo Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), semua cawangan pejabat itu telah ditugaskan untuk memeriksa Pasti, serta Sekolah Rendah Teras Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (Smiti).
Ia dikatakan bagi menentukan status pekerjaan guru dan kakitangan di institusi pendidikan di bawah Pas, atau lebih khusus sayap pemuda parti itu.
Institut-institut terbabit juga tidak didaftarkan secara sah sebagai sekolah, taman asuhan kanak-kanak, atau tadika.
Mengulas cadangan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob supaya peneroka Felda diberi gaji minimum, Steven berkata, mereka tidak terikat dengan majikan dalam hubungan kerja konvensional.
“Hubungan mereka dengan Felda adalah hubungan usahasama dan bukan hubungan majikan-pekerja seperti yang termaktub di bawah Akta Kerja 1955. Oleh itu, liputan gaji minimum tidak terpakai kepada peneroka Felda,” katanya. – UTUSAN










