Pemandu bas didakwa pandu bahaya, sebabkan kematian 

Pemandu bas didakwa pandu bahaya, sebabkan kematian 

BUANG Tohak dibawa ke Mahkamah Majistret, Bahau, Negeri Sembilan bagi didakwa atas pertuduhan memandu bas secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang pemandu bas didakwa di Mahkamah Majistret Bahau di sini, hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan itu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Tertuduh, Buang Tohak, 65, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu bas jenis Hino telah memandu kenderaan tersebut atas jalan raya dengan cara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian kepada seorang wanita warga emas berusia 61 tahun.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang di Kilometer 9, Jalan Bahau-Rompin pada 1 Ogos lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana Timbalan Pendakwa Raya, Siti Huzaifah Abdul Talib menawarkan jaminan sebanyak RM8,000.

Tertuduh dalam rayuannya yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Adam Hasan memohon jaminan paling minimum.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta lesen tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 10 September ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. Terdahulu, seorang wanita maut apabila kereta dipandu suaminya dilanggar sebuah bas yang tiba-tiba masuk ke laluan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN