BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesan taktik segelintir warga asing yang menjadikan pintu masuk Malaysia–Thailand di sini sebagai lokasi transit sebelum berpatah balik masuk ke negara ini, dikenali sebagai ‘pelancong u-turn’.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan susulan kawalan ketat di pintu masuk utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kebanyakan mereka, katanya, memiliki dokumen perjalanan sah tetapi diragui kerana beberapa faktor, termasuk kekerapan masuk dalam tempoh singkat, jawapan meragukan ketika disoal, hanya membawa wang tunai sekitar RM50 serta tiada bukti penginapan atau tiket pulang.
“Hari ini, seramai 21 individu dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam kerana tidak memenuhi syarat kemasukan.
“Mereka terdiri daripada empat lelaki China, dua lelaki dan 13 wanita Thailand serta masing-masing seorang lelaki India dan Pakistan.
“Ada yang disyaki sekadar mahu cop pasport sebelum berpatah balik ke Malaysia,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Kesemua pengembara yang berusia sekitar 40-an itu dikenakan tindakan di bawah Seksyen 8(3), Akta Imigresen 1959/63.
Semalam, tujuh lagi warga Thailand dan India turut diarahkan pulang atas kesalahan sama.
Menurut Mohd. Nasaruddin, antara faktor lain yang membawa kepada NPM ialah ketiadaan visa atau permit sah, nama tersenarai dalam sekatan Imigresen atau agensi keselamatan, disyaki terlibat jenayah, pengganas atau sindiket, serta pelanggaran undang-undang imigresen terdahulu seperti tinggal lebih masa atau bekerja tanpa permit.
Individu yang dikenakan NPM akan dibawa ke kaunter khas untuk mengisi borang sebelum diserahkan kepada syarikat pengangkutan atau penerbangan bagi dihantar pulang.
“AKPS Bukit Kayu Hitam akan terus berwaspada dengan taktik ini, khususnya membabitkan pelancong yang menggunakan pengangkutan awam atau kenderaan persendirian untuk masuk ke Malaysia bukan sebagai pelancong tulen,” katanya. – UTUSAN










