Pelajar UTHM dihantar ke Jepun kerjasama OISCA Jepun

Pelajar UTHM dihantar ke Jepun kerjasama OISCA Jepun

MAS Fawzi Mohd Ali dan Naib Presiden Eksekutif OISCA International, Yasuaki Nagaishi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UTHM dan OISCA sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud di Putrajaya hari ini. -UTHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya lima pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan dihantar ke Jepun setiap tahun bagi menimba pengalaman industri berasaskan teknologi melalui kerjasama strategik bersama Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya (OISCA).

Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali berkata, program mobiliti pelajar ke negara itu antara skop perjanjian kerjasama selama lima tahun bersama pertubuhan yang berpangkalan di Jepun yang antara lain memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan serta penerokaan teknologi sejajar dengan hala tuju pendidikan tinggi negara.

Menurut beliau, usaha tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk menyertai latihan praktikal di Jepun, malah memperkukuh hubungan UTHM dengan lebih 2,000 industri di bawah rangkaian OISCA.

“Ini juga membuka laluan kepada graduan tempatan untuk bekerja di Jepun dan membawa pulang pengetahuan serta teknologi yang boleh dimanfaatkan di negara ini.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya lima pelajar setiap tahun dihantar ke Jepun bagi menimba pengalaman industri, selain menyokong keperluan tenaga kerja mahir di sana susulan cabaran masyarakat menua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UTHM dan OISCA di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Mas Fawzi, manakala OISCA diwakili Naib Presiden Eksekutif OISCA International, Yasuaki Nagaishi dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

OISCA ialah sebuah pertubuhan yang berperanan untuk mempromosikan kerjasama antarabangsa dalam bidang industri, asas kerohanian dan penglibatan budaya. Pertubuhan ini mempunyai pengalaman lebih 60 tahun, serta telah menubuhkan lebih 20 pusat latihan, 31 cawangan dan beberapa projek kerjasama dengan 41 negara.

Mengulas lanjut, Mas Fawzi berkata, kerjasama julung kali antara UTHM dan OISCA turut membolehkan para pelajar mempelajari pendekatan Jepun dalam integrasi industri dan pendidikan, terutamanya berhubung kelestarian.

Tambah beliau, kerjasama itu juga berupaya memberi impak signifikan dalam usaha universiti ke arah Global Technopreneur University 2030 terutamanya dalam melahirkan graduan yang  kompeten, profesional, berdaya usahawan dan peka terhadap isu global, sekali gus mampu menangani cabaran sosio-alam sekitar yang kompleks. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN